KUALA SELANGOR, 14 FEB: Muzium Permainan Tradisional di Bukit Malawati di sini, dibuka secara rasmi kepada pengunjung bermula hari ini.
EXCO kebudayaan dan warisan berkata muzium yang mempamerkan 44 permainan tradisi itu boleh dikunjungi secara percuma sehingga Jun ini.
“Kita akan mengenakan bayaran tiket, dengan pakej menaiki trem selepas Jun ini. Bagaimanapun harganya masih belum ditetapkan lagi, mungkin hanya serendah RM3,” kata Borhan Aman Shah selepas merasmikan muzium itu.
Turut hadir Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Malawati, Juwairiya Zulkifli dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT), Dr Nadia Widyawati Madzhi.
Menurut Borhan, Muzium Permainan Tradisional mengambil masa empat tahun untuk disiapkan dengan kos antara RM300,000 hingga RM500,000.
Katanya muzium yang diubah suai daripada kuarters lama Jabatan Kerja Raya (JKR) ini adalah usaha Kerajaan Negeri untuk memastikan permainan tradisi rakyat terus terpelihara.
“Pengunjung juga boleh mencuba dan bermain sendiri permainan tradisional seperti yang dipaparkan di ruang pameran, dengan bantuan kakitangan bertugas,” katanya.
Muzium Permainan Tradisional dibuka setiap hari bermula 9.30 pagi hingga 5 petang.