Orang ramai tidak melepaskan peluang bagi mendapatkan barangan keperluan asas sempena Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Kandis di Taman Sri Andalas, Klang pada 14 Februari 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pengunjung jualan murah sanggup tunggu walau 500 nombor giliran habis diedar

Oleh SHAMZ JOHAN

KLANG, 14 FEB: Walaupun 500 nombor giliran habis diagihkan namun masih ramai pengunjung sanggup menunggu bagi mendapatkan barangan murah di Jelajah Ehsan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Taman Sri Andalas di sini hari ini.

Pegawai Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Kandis Mohd Shamsuri Mohd Alias berkata pihaknya masih membenarkan mereka untuk membeli sekiranya barangan jualan masih ada.

“Sambutan jualan murah di DUN ini semakin meningkat dan kadang kala diluar jangkaan. Seperti hari ini penduduk dari luar kawasan turut datang.

“Kita harap pengunjung dapat bersabar kerana terpaksa menunggu lama. Mereka yang tiada nombor giliran dibenarkan untuk membeli sekiranya barangan jualan masih ada,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bahagian Gudang PKPS akan mempergiat hebahan menyeru pembeli membawa beg sendiri bagi menyokong kempen bebas plastik anjuran Kerajaan Negeri.

“PKPS akan terus menguar-uarkan tentang kempen membawa beg guna semula sendiri dan kita minta kerjasama pihak DUN untuk membuat hebahan kepada penduduk setempat.

“Kita tidak mahu apabila caj 20 sen untuk beg plastik kepada pembeli, ia akan menyusahkan mereka,” kata Shamsiyah Samsudin.

Shamsiyah juga berharap pihak DUN dapat menambah baik aspek logistik seperti khemah tambahan dan tempat menunggu mampu sekali gus mengatasi isu kesesakan pengunjung khususnya warga emas yang terpaksa menunggu lama.

 


Pengarang :