Anuar Zaidi menunjukkan pau yang dijual pada program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) peringkat DUN Rawang di pekarangan Masjid Cahaya Iman Bandar Country Homes pada 14 Februari 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
SELANGOR

Usahawan pau syukur wakil rakyat beri peluang niaga di program jualan murah

OLEH DIANA ABD WAHAB

RAWANG, 15 FEB: Peniaga kecil yang mengusahakan pau buatan sendiri amat bersyukur diberi peluang berniaga pada program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang.

Anuar Zaidi yang menghasilkan sendiri pau berjenama Pau Adik menganggap peluang diberikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang Chua Wei Kiat sebagai platform terbaik memperkenalkan produk dihasilkan kepada orang ramai.

“Saya amat terharu YB (Yang Berhormat) Wei Kiat beri peluang saya berniaga pada program jualan murah negeri. Ini platform terbaik saya jana pendapatan kerana perniagaan baharu nak naik semula selepas fasa pandemik Covid-19 berakhir.

“Ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) saya hilang pendapatan dan alami kerugian lebih RM30,000 kerana tak dapat berniaga sedangkan sewa premis dan pekerja perlu dibayar. Malah bil elektrik tertunggak sehingga RM17,000,” katanya kepada Selangorkini.

Anuar ditemui pada program JER peringkat DUN Rawang di pekarangan Masjid Cahaya Iman Bandar Country Homes di sini, hari ini.

Usahawan gigih ini berkata peluang itu digunakan sebaiknya untuk mempromosikan pau enak yang dijual pada harga RM1 sebiji kepada pengunjung program tersebut.

“Alhamdulillah sambutan sangat menggalakkan kerana say jual pau bersaiz besar dengan harga RM1 sebiji untuk semua perisa. Sambil tunggu giliran beratur beli barangan keperluan ada pengunjung ambil peluang beli pau untuk rasai keenakan pau yang saya hasilkan sendiri.

“Boleh katakan bila sertai program JER, keuntungan sekali ganda lebih daripada biasa. Hari biasa tak dapat untung begini. Jadi kalau dapat peluang saya mahu jual pau pada semua program jualan murah yang dianjurkan DUN Rawang,” katanya yang sudah 10 tahun berkecimpung dalam bidang perniagaan.

Pau Adik menjual pau pelbagai perisa antaranya kacang merah, seri kaya, carbonara, kari, lada hitam dan BBQ ayam. Selain itu beliau turut menjual pau rendang daging, sambal bilis dan pelbagai kuih-muih sejuk beku kepada pelanggan.


Pengarang :