Kakitangan LUAS meletakkan beg serbuk karbon teraktif di alur longkang sebelum ke Sungai Bakau sebagai langkah kawalan pencegahan pencemaran pada 13 Oktober 2021. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENDANASIONAL

Pindaan akta lindungi hak mangsa gangguan air, denda RM10 juta buat pencemar

SHAH ALAM, 16 FEB: Pengguna dan pemegang lesen air boleh menuntut semula kos untuk memulihkan sistem bekalan air yang dicemari pihak yang didapati bersalah, kata menteri sumber asli.

Menurut Nik Nazmi Nik Ahmad, tindakan menerusi pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) bagi melindungi hak mangsa gangguan bekalan air akibat pencemaran.

Beliau menjelaskan pindaan akta yang akan dibentangkan Jun depan turut menyenaraikan kesalahan baharu, antaranya menghukum perbuatan yang menyebabkan gangguan bekalan air.

“(Akta ini) membolehkan pemegang lesen air dan pengguna menuntut semula kos bagi memulihkan sistem bekalan air yang dicemari pihak yang didapati bersalah melibatkan Seksyen 121 dan 122 Akta 655.

“Ia kini dalam semakan dan penelitian kementerian sebelum diangkat untuk kelulusan Jabatan Peguam Negara. Pindaan dijangka dibentang dalam Parlimen pada Jun 2023,” katanya di Parlimen hari ini.

Ahli parlimen Setiawangsa menambah pindaan akta itu juga bakal mengenakan hukuman lebih berat kepada pencemar sumber air dengan meningkatkan kadar denda dan hukuman penjara.

Berdasarkan pindaan itu, Nik Nazmi menjelaskan tempoh hukuman atau denda ditingkatkan daripada RM100,000 kepada RM10 juta dan penjara setahun dinaikkan kepada 15 tahun atau kedua-duanya.


Pengarang :