Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan e-mel atau mesej untuk menuntut hadiah berupa wang tunai yang kembali tular dalam laman sosial. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Tidak semua jadi mangsa sindiket kerja, ada terkandas akibat judi

SHAH ALAM, 16 FEB: Menteri dalam negeri hari ini mendedahkan tidak semua rakyat Malaysia di luar negara menjadi mangsa sindiket kerja, sebaliknya ada yang terkandas akibat hutang judi.

Menurut Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kes itu antara beberapa kategori mangsa yang dikenal pasti hasil tindakan profil yang dibuat polis ke atas mangsa penipuan, lapor Berita Harian.

“Yang kita selamatkan itu ada yang kalah judi dan tidak dapat bayar hutang. Itu pun kita bantu bawa balik. Selepas kita berjaya bawa balik, tetapi mereka pergi pula (sekali lagi) dan jadi balik (berulang) sebelum minta kita selamatkan sekali lagi.

“Hancur luluh pasukan polis apabila diberitahu mereka ke sana semula dan hubungi polis untuk minta diselamatkan,” katanya pada sesi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata ada juga yang tahu daripada awal akan menyertai sindiket penipuan (scammer) dan enggan pulang apabila sudah mencapai indeks prestasi utama (KPI).

“Apabila tidak capai KPI, mereka kata menjadi mangsa (sindiket penipuan pekerjaan) dan hubungi kita untuk diselamatkan,” kata Saifuddin Nasution lagi.

Dalam pada itu, katanya, seramai 339 rakyat Malaysia terkandas akibat kes penipuan pekerjaan antaranya di Laos, Kemboja, Myanmar, Filipina, Thailand dan Dubai dengan 218 orang diselamatkan.


Pengarang :