Lebih 500 pengunjung hadir dalam program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) DUN Taman Templer di Kampung Selayang Indah pada 16 Februari 2023. FOTO SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Program jualan murah dinanti ramai, penduduk harap jadi contoh kepada negeri lain

Oleh SHAMZ JOHAN

SELAYANG, 17 FEB: Bekas peniaga pasar malam yang terpaksa menutup perniagaannya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terharu usaha Kerajaan Negeri anjur program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) banyak membantu rakyat kurang berkemampuan sepertinya.

Norlela Aliuddin, 48, berkata bermula dari PKP pendapatannya terjejas dan kini hanya mengharapkan suami yang bekerja sebagai buruh binaan.

Norlela Aliuddin. FOTO SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

“Selepas PKP, perniagaan selipar kami jatuh. Kini, hanya bergantung pada gaji suami sebagai buruh binaan, jika diikutkan memang tidak cukup.

“Jika tiada program ini, susah bagi kami yang ada keluarga ramai. Mujur ada inisiatif Kerajaan Negeri ini, saya sangat terharu dan bersyukur,” katanya yang mempunya empat anak masih bersekolah.

Ketua Kampung Selayang Indah, Abdul Halim Sulaiman, 53, berkata program itu tanda pemimpin cakna dengan keperluan rakyat dan mahu lebih banyak inisiatif dibuat Kerajaan Negeri.

Abdul Halim Sulaiman. FOTO SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

“Program jualan murah ini tanda pemimpin cakna dengan keperluan rakyat. Kita harap Kerajaan Negeri mempergiat penganjuran program yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Pada saya, Kerajaan Negeri sedia ada ini perlu dikekalkan kerana kita mahu lihat lebih banyak lagi inisiatif dibuat untuk keperluan rakyat Selangor dan juga dapat menjadi contoh kepada negeri lain,” katanya.

Suri rumah Zainab Salleh, 66, turut menzahirkan kesyukuran kerana program JER itu membantu meringankan beban kewangan keluarganya.

Zainab Salleh. FOTO SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

“Alhamdulillah, rakyat sangat memerlukan program jualan murah ini. Sepanjang program JER ini, beban kewangan (keluarga) berkurangan.

“Barang mahal, sewa rumah perlu bayar, jadi saya harap lebih banyak program seperti ini diadakan pada masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, lebih 500 penduduk Kampung Selayang Indah hadir ke program JER peringkat DUN Taman Templer semalam.

Orang ramai memilih barangan keperluan asas dalam program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) DUN Taman Templer di Kampung Selayang Indah pada 16 Februari 2023. FOTO SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.


Pengarang :