EXCO Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian meninjau kolam takungan air yang didapati tercemar dengan sisa besi ketika melawat kilang tersebut di Jalan Sungai Lalang, Semenyih pada 14 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor sokong pindaan akta denda RM10 juta terhadap pencemar air

SHAH ALAM, 17 FEB: Kerajaan Negeri menyambut baik kesediaan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim meminda Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

EXCO alam sekitar berkata sudah tiba masanya kerajaan perpaduan merealisasikan pindaan tersebut selepas tiga tahun ia dicadangkan ketika pentadbiran terdahulu.

“Kita sudah dengar cadangan ini pada 2020, sejak tiga tahun lalu tetapi ia masih belum dipinda.

“Saya harap kerajaan dapat laksanakan pindaan ini segera kerana ia sudah ambil masa lama,” kata Hee Loy Sian kepada Selangorkini.

Beliau menjelaskan kenaikan denda sehingga RM10 juta itu penting bagi memberi kesedaran kepada pengilang besar yang selama ini tidak mengambil serius isu alam sekitar.

Wakil rakyat Kajang itu mencadangkan kerajaan menambah klausa seperti penjara mandatori, selain pencemar diwajibkan melaksanakan kerja pembersihan dengan kos sendiri.

“Selama ini kerajaan yang terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk kerja pembersihan. Ia tidak adil kepada pembayar cukai,” katanya.

Menteri Sumber Asli Nik Nazmi Nik Ahmad semalam memaklumkan kerajaan bakal meminda Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) pada sidang Parlimen Jun depan.

Pindaan itu bakal mengenakan hukuman lebih berat kepada pencemar sumber air iaitu daripada RM100,000 kepada RM10 juta dan penjara setahun dinaikkan kepada 15 tahun atau kedua-duanya.


Pengarang :