Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Datuk Zahimi Hassan menunjukkan bungkusan racun siput gondang tidak berdaftar yang dirampas susulan serbuan di sebuah premis menjual input pertanian di Kampung Gajah, Perak pada 1 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Racun siput gondang emas terlarang bernilai lebih RM50,000 dirampas

PUTRAJAYA, 17 FEB: Sebanyak 10,125 bungkusan racun siput gondang emas, yang mengandungi perawis aktif fentin acetate yang diharamkan penggunaannya di negara ini, dirampas dalam serbuan pada 1 Februari di sebuah premis menjual input pertanian di Kampung Gajah, Perak.

Ketua Pengarah Pertanian Datuk Zahimi Hassan berkata racun haram yang dirampas bernilai RM50,625 itu terletak dalam 81 kotak dan ketika serbuan dijalankan, terdapat beberapa pelanggan serta dua pekerja berada di premis berkenaan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati racun haiwan perosak tersebut berasal dari China dan dijual pada harga RM5 sepaket selain boleh diperoleh secara dalam talian.

Fetin acetate merupakan merupakan sejenis racun perosak kimia daripada kumpulan organotin yang mula diperkenalkan pada 1954 dan digunakan sebagai racun kulat dan racun serangga.

“Racun ini diklasifikasikan sebagai sangat toksik dan berbahaya kepada alam sekitar terutamanya kepada hidupan akuatik,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan terhadap pemilik syarikat berkenaan berhubung kes itu mengikut Seksyen 20(3) Akta Racun Makhluk Perosak 1974.

Sementara itu, Zahimi berkata terdapat 22 produk racun siput berdaftar yang boleh digunakan oleh petani bagi mengatasi masalah serangan haiwan perosak tersebut kerana mempunyai tahap toksisiti yang rendah kepada manusia, haiwan dan alam sekitar.

“Kawalan sedia ada bagi haiwan tersebut adalah dengan menggunakan racun makhluk perosak berdaftar mengandungi perawis aktif seperti metaldehyde, niclosamide dan niclosamide-olamine yang telah dinilai dari segi kualiti dan keberkesanannya,” katanya.

Memandangkan terdapat penjualan racun haram dilakukan secara dalam talian, beliau berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan beberapa penyedia platform untuk memperkenalkan kempen dan akta yang perlu dipatuhi berhubung perkara itu.

– BERNAMA


Pengarang :