Hospital Cyberjaya di Cyber 11 beroperasi secara rasminya sejak 11 Oktober 2022. Beroperasi dengan kapasiti 288 katil, hospital berkenaan dijangka dapat memanfaatkan kira-kira 282,000 pesakit. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Orang ramai diminta guna fasiliti kesihatan berhampiran untuk kes biasa, bukan kecemasan

PUTRAJAYA, 18 FEB: Orang ramai diminta menggunakan fasiliti kesihatan berhampiran untuk rawatan kes biasa dan bukan kecemasan bagi membantu mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan Hospital Cyberjaya.

Dalam kenyataan hari ini, susulan isu penolakan pesakit di hospital itu pada 10 Februari lepas, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata Jabatan Kecemasan Hospital Cyberjaya memberi keutamaan kepada kes kecemasan dan kritikal.

Beliau berkata Hospital Cyberjaya yang mula beroperasi 11 November lalu menawarkan perkhidmatan kecemasan, Obstetrik dan Ginekologi, Pediatrik, Perubatan Am, Pembedahan Am, Patologi, Radiologi dan Anestesiologi serta Jabatan Farmasi juga telah mula membekalkan ubat-ubatan mengikut perkhidmatan disediakan.

“Orang awam boleh mendapatkan perkhidmatan di Hospital Cyberjaya melalui Klinik Pakar dan Jabatan Kecemasan,” katanya.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, tular di Twitter seorang pengguna @adlisabatrisyia membangkitkan isu Hospital Cyberjaya yang didakwanya kakitangan tidak mahu menerima pesakit.

Dr Sha’ari berkata sebarang usaha ke arah penambahbaikan penyampaian perkhidmatan di hospital itu sentiasa dialu-alukan dan dipertimbangkan sewajarnya.

“Orang ramai digalakkan mengemukakan sebarang maklum balas atau cadangan melalui Unit Perhubungan Awam Hospital Cyberjaya di emel [email protected],” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :