Kumpulan Terakhir Tim Op Starlight ll Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke negara Turkiye yang akan berkhidmat di Hospital Medan Malaysia (HMM) dalam misi bantuan bagi mangsa gempa bumi selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Gaziantep pada 12 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hospital Medan Malaysia rawat 164 pesakit gempa bumi sejak dibuka Selasa lalu

GAZIANTEP (Turkiye), 18 FEB: Hospital Medan Malaysia (HMM) yang beroperasi di Celikhan, Aditaman terletak kira-kira 152 kilometer (km) dari Gaziantep telah merawat 164 pesakit sejak dibuka 14 Februari lalu.

Komander Op Starlight 2, Brig Jen Datuk Dr Amran Amir Hamzah berkata cuaca sejuk melampau yang mencecah -10 darjah Celsius pada waktu malam memberikan cabaran tersendiri kepada warga Angkatan Tentera Malaysia yang terlibat dalam pengoperasian HMM berkenaan.

Bagaimanapun katanya ia tidak menjejaskan motivasi anggotanya untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga Turkiye yang terjejas akibat gempa bumi pada 6 Februari lepas.

Menurutnya pesakit yang hadir ke HMM ialah lelaki dan wanita dewasa, ibu mengandung dan kanak-kanak.

“Rawatan yang disediakan di HMM mencakupi rawatan pesakit luar, ibu mengandung dan ginekologi, kanak-kanak, pembedahan am, ortopedik dan pergigian.

“Kerajaan Turkiye dan sukarelawan tempatan serta penduduk di sini memberikan kerjasama sangat baik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr Amran berkata perancangan awal HMM akan beroperasi di Celikhan selama enam minggu dengan 106 pegawai dan anggota.

Op Starlight 2 diaktifkan selepas kerajaan Turkiye memohon bantuan daripada Malaysia untuk membantu mangsa gempa bumi.

– BERNAMA


Pengarang :