EXCO Pembangunan Luar Bandar, Borhan Aman Shah menyampaikan sumbangan wang ihsan keluarga mangsa tanah runtuh Batang Kali ketika program Jelajah Kita Selangor Penyanyang daerah Hulu Selangor di Oasis Batang Kali, Hulu Selangor pada 19 Februari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Waris mangsa tanah runtuh Batang Kali terima bantuan wang ihsan negeri

HULU SELANGOR, 19 FEB: Sejumlah RM155,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri untuk sumbangan bantuan wang ihsan kepada waris 31 mangsa yang meninggal dunia dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Batang Kali.

Majlis penyerahan bantuan disempurnakan EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah pada Program Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) Hulu Selangor hari ini.

Menurut Borhan bantuan untuk seorang mangsa adalah berjumlah RM5,000.

“Yang ini pertama kali (Kerajaan Negeri) beri bantuan. Ini dari Kerajaan Negeri khususnya kita bagi kepada (waris) RM5,000 setiap mangsa.

“Setakat ini (beri) bantuan kewangan dulu, tapi kalau ada keperluan lain akan pertimbangkan mungkin daripada segi penjagaan dan sebagainya kita akan lihat apa permasalahan sebab yang terlibat ini bukan semua dari Selangor ada Melaka dan negeri lain,” katanya ketika ditemui selepas program JKSP Hulu Selangor di Oasis Batang Kali hari ini.

Seramai 13 penerima dari Selangor dan Kuala Lumpur mewakili 25 mangsa menerima sumbangan Kerajaan Negeri berjumlah RM125,000 hari ini.

Baki dua lagi penerima meliputi enam mangsa dari Pulau Pinang dan Melaka akan diuruskan dalam masa terdekat oleh Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor selaku urus setia bantuan berkenaan.

Tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali pada 16 Disember tahun lalu mengorbankan 31 nyawa dengan 12 daripadanya adalah kanak-kanak dan seorang bayi lelaki berusia setahun manakala 61 mangsa terselamat.


Pengarang :