EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah (dua kanan) memukul gendang sebagai simbolik perasmian Muzium Permainan Tradisional Kuala Selangor pada 14 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: Pupuk amalan tradisi, program rewang sekampung diterus ke sembilan daerah

HULU SELANGOR, 19 FEB: Kerajaan Negeri meneruskan program Jom Rewang Sekampung pada tahun ini, bagi menghidupkan semula amalan tradisi dalam kalangan masyarakat.

EXCO kampung tradisi berkata acara tersebut menjelajah ke sembilan daerah bagi membolehkan masyarakat terutama golongan muda merasai suasana gotong-royong sekampung yang diselangi pelbagai aktiviti

“Acara tahun ini akan dibuat bersekali dengan program Hari Raya Aidilfitri yang mana sebelum jamuan (hari raya), kita adakan program rewang sekampung.

“Ia harus dihidupkan semula dan saya mengharapkan program ini mendapat kerjasama semua pihak. Berdasarkan penganjuran tahun lepas kita capai kejayaan dalam program ini,” kata Borhan Aman Shah.

Beliau ditemui selepas program Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) Hulu Selangor di Oasis Batang Kali, hari ini.

Kerajaan Selangor menganjurkan program rewang sekampung di setiap daerah bagi menghidupkan kembali amalan tradisi dalam kalangan masyarakat.

Penganjuran juga bertujuan mengeratkan lagi hubungan penduduk sekali gus membentuk perpaduan yang utuh.

Pada tahun lepas, Sabak Bernam menjadi daerah pertama penganjuran program berkenaan dengan mengadakan majlis kesyukuran bagi meraikan kejayaan 230 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia 2021.

Acara turut diadakan di beberapa daerah lain antaranya di Hulu Langat yang berkonsepkan majlis perkahwinan mengikut istiadat masyarakat Minang termasuk acara menyembelih kerbau.

Program rewang berkonsep Jawa turut diadakan di Sepang bagi membolehkan penduduk merasai pengalaman mengikut istiadat etnik itu melalui pakaian dan makanan.

 


Pengarang :