Orang ramai mendapatkan barang keperluan asas di Jualan Ehsan Rakyat sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang di Oasis Batang Kali, Hulu Selangor pada 19 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Puncak Alam, Pandan Indah antara 11 lokasi jualan murah esok

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 19 FEB: Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) anjuran Kerajaan Negeri yang menawarkan barangan asas murah berbanding harga pasaran diteruskan ke 11 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) esok.

Lokasi jualan murah bertempat di No. 11, Parit 10 Timur (DUN Sabak), pekarangan Balai Raya Parit 12 Gambut (DUN Sungai Panjang), tapak pasar malam Alam Jaya, Puncak Alam (DUN Jeram), Surau Baitul Raudhah (DUN Rawang) dan Pangsapuri Sri Harmonis (DUN Gombak Setia).

Program tersebut juga diadakan di Flat 610, Pandan Indah (DUN Teratai), pekarangan Masjid Teras Jeniang (DUN Sungai Ramal), Kampung Sungai Plong (DUN Paya Jaras) dan bawah jambatan Telok Dato’ Banting (DUN Banting).

Dua lokasi tambahan ialah di Labuhan Dagang (DUN Dengkil) dan KRT Taman Klang Perdana (DUN Sementa).

Sementara itu, pengurus jualan dan operasi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata sembilan lokasi adalah seperti yang dijadualkan manakala dua lokasi tambahan adalah inisiatif pihak pemasaran perbadanan.

“Dua lokasi tambahan merupakan lokasi terpilih yang menjual pelbagai barangan kering seperti sos cili, kicap, cili giling, tepung, gula, sardin tin, mi kering, biskut dan kaya jenama Ehsan selain enam barangan asas.

“Jualan di lokasi tambahan tersebut dibuat atas permintaan Ahli Dewan Negeri (ADN) atau penyelaras DUN kawasan terlibat,’’ kata Izzul Fadhli Hamzah kepada Selangorkini.

JER yang bertujuan meringankan beban rakyat menawarkan barangan seperti ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS atau merujuk Facebook PKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :