EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah ketika sidang media selepas merasmikan Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) di Batang Kali, Hulu Selangor pada 19 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jelajah bantuan rakyat di Gombak, Kuala Selangor minggu depan

HULU SELANGOR, 19 FEB: Program Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) yang membuka tirainya minggu ini akan diteruskan ke daerah Gombak dan Kuala Selangor minggu depan.

EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah berkata JKSP akan menjelajah ke daerah yang melibatkan lokaliti dan kawasan yang belum pernah dianjurkan.

“Minggu depan akan ke Gombak dan Kuala Selangor,” katanya ketika ditemui selepas program JKSP Hulu Selangor di Oasis Batang Kali hari ini.

Beliau menjelaskan jelajah bantuan rakyat yang turun ke setiap daerah turut menyantuni isu setempat.

“JKSP turun ke setiap daerah bukan hanya nak jelaskan apa yang kita sudah capai tetapi juga sebagai usaha untuk faham, mengetahui, menghayati dan ambil peduli isu setempat.

“Kita turun sendiri ke kawasan untuk rakyat kerana tiada siapa pun yang layak ditinggalkan kerana kita adalah Selangor yang penyayang,” katanya.

Program yang dahulu dikenali sebagai Jelajah Selangor Penyayang (JSP) yang dianjurkan bermula Jun tahun lalu pada Sabtu dan Ahad menyediakan pelbagai acara antaranya saringan kesihatan percuma, jualan barangan asas murah, pameran dan acara sukan.

Jelajah yang disusun semula dari Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) sebelum ini dijayakan menerusi peruntukan RM350 juta bagi memberi manfaat kepada rakyat Selangor.


Pengarang :