EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah menyampaikan surat kelulusan hak milik individu Bandar Sungai Buaya, Rawang ketika program Jelajah Kita Selangor Penyayang daerah Hulu Selangor di Oasis Batang Kali, Hulu Selangor pada 19 Februari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Isu hak milik tanah Bandar Sungai Buaya selesai, penduduk bersyukur terima geran

HULU SELANGOR, 19 FEB: Kegusaran 50 pembeli rumah di Bandar Sungai Buaya, Rawang terhadap status pemilikan tanah berakhir apabila menerima surat kelulusan daripada Kerajaan Negeri hari ini.

Mereka memperoleh dokumen hak milik pada siri kedua Jelajah Kita Selangor Penyayang di Oasis Batang Kali di sini, yang diserahkan EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah.

Safariza Jaafar, 37. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Penerima Safariza Jaafar, 37, berterima kasih atas komitmen Kerajaan Negeri menyelesaikan kemelut yang dihadapi selama sedekad sejak membeli rumah di kawasan terbabit pada 2012.

“Ini bermakna saya sudah jadi pemilik yang betul. Selama ini sering tertanya-tanya status rumah di tanah berkenaan kerana geran rumah itu berantai (melibatkan banyak pihak).

“Banyak proses terpaksa dibuat termasuk melantik peguam. Tanpa bantuan Kerajaan Selangor mungkin tempoh menunggu untuk dapat hak milik ini lebih lama. Saya bersyukur akhirnya isu ini terlerai,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Kakitangan swasta itu menambah kediamannya disewakan kepada individu lain sejak dia sekeluarga berpindah ke Teluk Intan, Perak kira-kira lima tahun lalu atas faktor kekangan ekonomi.

“Pendapatan suami yang bekerja di sebuah syarikat kereta terjejas teruk ketika itu dan kebetulan saya dapat kerja di kampung sendiri, jadi kami ambil keputusan untuk pulang ke sana.

“Sekarang rumah di Sungai Buaya disewakan kepada orang lain, sekurang-kurangnya dapat menambah pendapatan bulanan keluarga,” kata ibu seorang anak.

Nor Azman Mat Rani, 62. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Bagi pesara Nor Azman Mat Rani, 62, dokumen itu bukan sahaja menjamin haknya sebagai pemilik rumah, malah memudahkan proses pinjaman bank dan urusan jual beli kemudian hari.

Bapa empat anak yang menanti sejak 23 tahun mengakui banyak proses dilalui sepanjang tempoh berkenaan sebelum isu mendapat perhatian Kerajaan Negeri.

“Selain masa menunggu yang sangat lama, saya kena bayar RM4,000 kepada peguam untuk mengeluarkan surat hak milik sebelum Kerajaan Negeri mengusahakan perkara ini.

“Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk pemilik tanah, pejabat tanah dan daerah serta Kerajaan Selangor,” katanya.


Pengarang :