SELANGOR

Maqis rampas 160 paket benih sayur, buah tidak sah di KLIA

SEPANG, 20 FEB: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 160 paket biji benih sayuran dan buah-buahan tanpa dokumen sah dari Bangladesh bernilai RM500 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Jumaat lepas.

Maqis dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas benih yang didapati tidak mempunyai dokumen seperti permit import dan Sijil Fitosanitasi daripada dua lelaki warga Bangladesh pada kira-kira pukul 6 petang.

Bagaimanapun katanya tiada tindakan diambil terhadap dua individu berkenaan dan dibenarkan untuk meneruskan perjalanan.

“Rampasan itu bertujuan mengawal kemasukan perosak, penyakit dan kulat pada biji benih yang boleh mendatangkan risiko kepada industri pertanian dalam negara jika tidak dikawal dengan sebaiknya,” menurut kenyataan itu.

Perbuatan membawa masuk biji benih tanpa permit yang sah dari Maqis adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum dibawah Seksyen 11 (3) akta sama dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000, atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :