Wan Saiful Wan Jan. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ketua penerangan Bersatu mengaku tidak salah minta, terima rasuah RM6.9 juta

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan dan ahli perniagaan Adam Radlan Adam Muhammad dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung projek Jana Wibawa.

Wan Saiful, 48, dan Adam Radlan, 42, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi dan Hakim Suzana Hussin.

“Saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan”, kata Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor.

Dia didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek “Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur” daripada Kerajaan Malaysia secara Pra Kelayakan yang keseluruhannya bernilai RM232,000,000.

Wan Saiful juga dituduh menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai sejumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek sama.

Bekas pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu didakwa melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, sekitar April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 hingga 30 Sept 2022.

Adam Radlan pula didakwa meminta suapan iaitu wang tunai sejumlah 3.5 peratus hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat iaitu Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

Perbuatan itu sebagai dorongan untuk tertuduh membantu syarikat MIE Infrastructure mendapatkan SST bagi projek di bawah Program Jana Wibawa daripada Kerajaan Malaysia.

Adam Radlan turut didakwa menerima suatu suapan wang tunai berjumlah RM500,000 ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada Mat Jusoh sebagai upah bagi dirinya kerana membantu syarikat tersebut mendapatkan SST bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47,800,000.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu restoran di Dutamas dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku pada Mac 2021 dan 26 Nov 2021.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Azura membenarkan Wan Saiful diikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain melapor diri di pejabat SPRM Putrajaya pada setiap dua bulan sekali sehingga kes selesai.

Sementara Suzana membenarkan Adam Radlan diikat jamin RM120,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes Wan Saiful pada 22 Mac ini manakala sebutan kes Adam Radlan 23 Mac.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon jaminan antara RM500,000 hingga RM1 juta terhadap Wan Saiful kerana ia melibatkan kesalahan yang serius.

“Tertuduh memberi kerjasama baik kepada SPRM sepanjang siasatan dijalankan dan tidak berisiko untuk melarikan diri. Kami mohon syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya minggu pertama pada setiap sebulan,” kata Wan Shaharuddin.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Wan Saiful memohon jaminan rendah diberikan antara RM200,000 dan RM300,000.

Hisyam berkata tujuan ikat jamin adalah bagi memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah dan pihak pendakwaan sendiri telah mempertimbangkan tertuduh sebagai individu yang tidak berisiko serta telah memberi kerjasama kepada SPRM.

“Kedua-dua bank akaunnya (Wan Saiful) telah dibekukan oleh SPRM. Isteri beliau tidak sihat dan menjalani kemoterapi serta memerlukan wang bagi rawatan itu,” katanya.

Hisyam turut memohon mahkamah membenarkan anak guamnya untuk melaporkan diri di pejabat SPRM dua bulan sekali berbanding sebulan sekali.

Wan Saiful turut diwakili peguam Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Rosal Azimin Ahmad.

Bagi kes Adam Radlan, Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh menawarkan jaminan RM300,000 dengan dua penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali selain pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili Adam Radlan yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut memohon jaminan RM100,000 bagi kedua-dua pertuduhan atas alasan anak guamnya telah memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan oleh SPRM selain tidak pernah dituduh di mahkamah sebelum ini.

“Anak guam saya merupakan seorang ahli perniagaan yang mempunyai empat anak berusia antara sembilan dan 16 tahun.

“Semalam, anak guam saya telah dihubungi SPRM dan beliau sendiri hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan dan ketika itu dia dimaklumkan akan dituduh di mahkamah hari ini,” katanya.

Prosiding hari ini turut dihadiri bekas Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata projek Jana Wibawa ditangguh pelaksanaannya bagi meneliti semula sama ada tatacara perolehannya dibuat mengikut peraturan ditetapkan perbendaharaan.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, penangguhan projek melibatkan nilai RM5.7 bilion itu dibuat kerana terdapat unsur kaedah perolehan dibuat secara tender terpilih atau runding terus.

– BERNAMA

 


Pengarang :