AGENDAJENAYAH

Polis buru suspek letup mesin ATM bank di Setia Alam, larikan tunai RM349,000

SHAH ALAM, 23 FEB: Sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik sebuah bank di Setia Alam dekat sini diletupkan, sebelum wang tunai dianggarkan berjumlah  RM349,000 dilarikan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian tersebut, kira-kira jam 6.48 pagi.

Beliau berkata pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati dua mesin ATM dalam keadaan rosak teruk, dipercayai telah diletupkan bagaimanapun hanya sebuah mesin ATM sahaja berjaya dibuka.

“Hasil siasatan setakat ini, tiga suspek dilihat telah memasuki premis ATM bank tersebut menaiki kereta jenis Mitsubishi ASX berwarna putih. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu kabur dan tidak jelas, berikutan suspek telah menyembur spray cat berwarna hitam.

“Pihak forensik, Unit Pemusnah Bom (UPB) dan Post Balistic Investigation (PBI) turut dipanggil ke tempat kejadian, untuk membuat ‘flushing’ dan membantu siasatan. Pihak forensik menyatakan letupan dipercayai dihasilkan dengan cara tekanan gas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Iqbal berkata tiada kesan kebakaran dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku di tempat kejadian.

“Pihaknya kini sedang giat mengesan kesemua suspek dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 436/379 Kanun Keseksaan. Sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh disalurkan kepada pegawai Penyiasat kes ASP Mohammad Khairi di talian 012-2666025,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :