Seorang wanita melecur hampir seluruh badan selepas tong gas petroleum cecair (LPG) meletup dalam kejadian di Taman Sena Permai, Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 13 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Wanita meninggal dunia, dua hari bertarung nyawa, tong gas memasak meletup

GEORGE TOWN, 25 FEB: Seorang wanita meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang di sini hari ini selepas dua hari bertarung nyawa setelah parah akibat letupan tong gas memasak di rumahnya di Flat Taman Sri Bayu, Jalan Kampung Bukit, Bayan Lepas dekat sini.

Pengawal keselamatan, Sarimah Abdul Rahman, 55, menghembuskan nafas terakhir pada 4.19 petang tadi dan perkara itu disahkan anak tunggal mangsa, Hafizan Sulaiman, 35.

Hafizan berkata ibunya ditidurkan sejak pukul 10 malam Khamis iaitu hari sama mangsa dihantar ke HPP selepas parah akibat letupan tong gas memasak dalam kejadian kira-kira 9 pagi.

“Ibu ketika dibawa ke HPP masih dalam keadaan sedar dan dia kemudian semakin lemah sebelum doktor tidurkannya ketika menerima rawatan lanjut, keadaan kesihatan ibu semakin merosot dan tidak menentu selepas itu.

“Hari ini doktor hubungi saya memaklumkan keadaan kesihatan ibu semakin teruk dan saya terus ke hospital sebelum dimaklumkan ibu telah pergi meninggalkan saya untuk selama-lamanya,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Hafizan yang tinggal di Seberang Perai dan bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Bukit Minyak berkata jenazah ibunya yang merupakan ibu tunggal disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seberang Jaya, dekat sini selepas solat Isyak.

Beliau yang terkilan dan sedih dengan kejadian menimpa ibunya berkata wanita itu sebelum ini tinggal dengannya namun baru berpindah ke flat berkenaan kerana lebih dekat dengan tempat kerja ibunya di sana.

“Selalunya saya bertemu ibu seminggu sekali tapi sejak sebulan lepas ibu selalu mengelak untuk berjumpa dan sering beri alasan sibuk serta tiada cuti, saya reda dengan pemergian ibu namun dalam masa sama masih bersedih dan sangat terkilan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kejadian letupan tong gas memasak sehingga menyebabkan wanita itu cedera dan melecur lebih 60 peratus dalam kejadian 9 pagi Khamis lepas.

Mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan tinggal bersendirian di rumah sewanya sebelum itu menyalakan dapur untuk memasak tanpa menyedari tong gas berkenaan mengalami kebocoran sebelum meletup.

– BERNAMA


Pengarang :