Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan cek cura Tabung Amanah Dana Wakaf Ilmu kepada Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa sempena Majlis Perasmian Hospital Sultan Abdul Aziz Shah di Universiti Putra Malaysia, Serdang pada 28 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sultan mahu UPM lahirkan lebih ramai doktor, pakar kesihatan

SERDANG, 28 FEB : Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menitahkan Universiti Putra Malaysia (UPM) melahirkan lebih ramai doktor dan pegawai perubatan profesional untuk memenuhi keperluan semasa.

Seiring penjenamaan semula Hospital Pengajar UPM kepada Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berharap hospital itu berperanan sebagai pusat latihan kepakaran kepada pegawai perubatan serta sains kesihatan dari dalam dan luar negara.

“Beta mendoakan segala usaha yang dilaksanakan UPM diteruskan untuk pembangunan hospital ini supaya dapat mengeluarkan lebih ramai doktor atau pegawai perubatan profesional.

“Dengan pertambahan penduduk di Malaysia, keperluan untuk menambah doktor dan pakar perubatan amat diperlukan.

“Justeru, beta berharap UPM dapat mengambil peluang ini untuk menyumbang kepada perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada masyarakat,” titah baginda.

Sultan Selangor bertitah ketika menyempurnakan penjenamaan semula hospital tersebut di sini, hari ini. Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Baginda turut menitahkan HSAAS supaya memberikan serta menawarkan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.

“Sesuai dengan nama hospital ini atas nama almarhum ayahanda beta, Sultan Abdul Aziz Shah iaitu canselor pertama UPM, beta berharap semangat dan penghayatan baginda untuk membantu rakyat dapat dilaksanakan dalam pengurusan hospital ini.

“Kita harus mendahulukan kepentingan rakyat dan berusaha untuk memberikan yang terbaik. Sifat amanah, jujur, berdisiplin, mesra pelanggan dan sedia berkhidmat perlu dihayati semasa memberi perkhidmatan,” titah baginda.


Pengarang :