Nur Aini Mohamad Mashidi bersama sijil dan trofi Usahawan Harapan OKU yang di terima pada Majlis Pusingan Akhir Liga Usahawan OKU Selangor Edisi Keempat di Kuala Lumpur pada 27 Februari 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAEKONOMI

Penghidap bipolar kini usahawan pembersihan berjaya hasil bimbingan SAY

OLEH AZIAN AZIZ

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Bermula sebagai terapi untuk penyakit bipolar yang dihidapinya, kini kerja menggosok baju dan membersih rumah sudah menjadi perniagaan yang memberi pulangan lumayan buat dirinya dan keluarga.

Menurut Nur Aini Mohd Mashudi, 31, dia yang disahkan menghidap bipolar peringkat dua selepas mengalami kemurungan serius pada tahun 2016 menghabiskan masa dengan melakukan aktiviti menggosok pakaian dan membersihkan rumah sepanjang hari bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi.

“Semuanya berpunca daripada kemurungan yang tidak dirawat akibat pernah keguguran anak pertama akibat kemalangan diikuti kehilangan salah seorang anak kembar yang mengecut ketika masih dalam kandungan.

“Apabila berjumpa doktor , saya disahkan menghidap bipolar peringkat kedua dan bertukar status menjadi orang kurang upaya (OKU) serta perlu makan ubat,” kata pemenang Usahawan Harapan OKU Selangor itu ketika ditemui dalam Program Liga Usahawan OKU Selangor (SAY LEAD) di Hotel Sunway Putra di sini semalam.

Pemilik syarikat Lava Glow Cleaning Services yang beralamat di kediamannya di Kampung Api-Api, Kuala Selangor itu memberitahu, dia yang sebelum ini pernah melakukan pelbagai kerja untuk menampung hidup kemudian menjadikan menggosok baju dan membersih rumah sebagai punca pendapatan secara serius.

“Mulanya saya buat bersama suami secara sambilan dengan pendapatan tidak sampai RM1,000 sebulan. Namun selepas menyertai Selangor Youth Community (SAY) pada Oktober 2022 pendapatan saya mula bertambah antara RM3,000 hingga RM5,000.

“Biasanya saya ambil upah gosok dan lipat baju ikut jam dengan kadar RM120 bagi tiga jam, membersih pula RM100 tiga jam,’’ kata ibu kepada dua anak berusia tiga dan lima tahun itu.

Tambah Nur Aini, beliau juga mendapat projek besar selepas menyertai SAY iaitu menggosok dan melipat 1,000 helai baju kurung serta blouse daripada sebuah kilang di Ijok dan kerja itu berjaya disiapkan dalam tempoh lima hari dengan bantuan dua pekerja.

“Saya bersyukur selepas menyertai SAY LEAD hampir setiap hari saya akan dapat panggilan untuk kerja menggosok atau mengemas. Terima kasih SAY kerana membantu dan mengiktiraf perniagaan saya.

“Sasaran saya sekarang untuk mendapatkan kerja menggosok atau mengemas secara mingguan daripada individu atau syarikat,” katanya.


Pengarang :