Pengunjung Roshidah Isa, 48, (kanan) dan Sofia Azira Abdullah, 37, menunjukkan barangan yang dibeli mereka di Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Kandis di Masjid Al Bakri Bukit Naga, Shah Alam pada 7 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

15 kali anjur jualan murah sejak Januari, DUN Sungai Kandis sasar kawasan kampung

Oleh SHAMZ JOHAN

KLANG, 1 MAC: Pejabat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis sudah 15 kali menganjurkan program Jelajah Ehsan Rakyat sejak Januari tahun ini.

Pegawai Pejabat DUN Sungai Kandis berkata pihaknya menumpukan kawasan kampung bagi memastikan golongan berpendapatan rendah (B40) menerima manfaat jualan murah berkenaan.

“Kita tumpu kawasan kampung kerana ramai penduduk B40 dan rancang untuk anjurkan di semua kawasan supaya lebih ramai penduduk dapat manfaat.

“Alhamdulillah, rata-rata penduduk puas hati, kita akan terus pergiat usaha promosi program ini,” kata Noraslime Aminuddin.

Beliau ditemui pada jualan murah yang dikendalikan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Tapak Surau Bukit Badak, Kampung Telok Menegon di sini hari ini.

Hujan renyai tidak menghadalang hampir 400 penduduk untuk mendapatkan barangan asas murah pada program yang bermula 10 pagi.

Pengedar barang runcit Mohd Farul Hafidz, 40, mengakui sudah megunjungi hampir semua lokasi jualan murah di beberapa DUN sejak program berkenaan dianjurkan.

“Saya sudah ikut program jualan ini dari awal dianjurkan. Antara tempat yang saya sudah pergi seperti Ijok, Pandamaran, Klang, Kapar, Paya Jaras, Sungai Tua dan Sungai Kandis. Jika buat di DUN Jeram pun saya akan pergi.

“Bukan saja beli barang keperluan, saya juga mahu menyokong usaha kerajaan negeri membantu rakyat. Saya tidak kisah lokasinya jauh, bagi saya, usaha (program) ini sangat bertepatan dengan masalah dihadapi penduduk sekarang,” katanya.

Suri rumah, Hasni Bukhari, 38, pula menumpang rakan dari Taman Sri Andalas untuk membeli ayam, telur dan keperluan lain.

“Saya tumpang kawan datang ke sini, walaupun jauh, yang penting dapat beli ayam, telur dan beras. Lagipun, barang di sini murah sangat, memang seronok ada program macam ini dapat bantu sikit-sikit,” katanya.


Pengarang :