Keadaan banjir yang melanda salah sebuah rumah penduduk di Kampung Cahaya Baru menyebabkan beberapa mangsa terpaksa dipindahkan di pusat semindahan Sementara (PPS) di Dewan Muafakat MBPG Kampung Cahaya Baru pada 1 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bah di Johor memburuk, 25,213 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan

SHAH ALAM, 2 MAC: Situasi bah di Johor memburuk dengan jumlah mangsa dipindahkan ke 187 pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 25,213 orang setakat 8 pagi ini.

Setiausaha Kerajaan Johor memaklumkan keadaan yang berlaku di negeri itu antara terburuk pernah dialami dalam tempoh beberapa tahun berikutan semua daerah terjejas, lapor Berita Harian.

Menurut Tan Sri Dr Azmi Rohani, hujan lebat berterusan berserta fenomena air pasang menyebabkan keadaan banjir di Johor semakin buruk dan menjejaskan ramai penduduk.

“Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) masih mengekalkan amaran hujan berterusan tahap bahaya atau merah ke atas semua daerah negeri ini sehingga hari ini, namun ramalan cuaca di beberapa daerah menyatakan keadaan cuaca lebih baik hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata 18 sungai utama di Segamat, Tangkak, Batu Pahat, Kluang, Kulai, Muar, Kota Tinggi dan Mersing berada pada paras bahaya, pagi ini.

Semalam, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya yang dijangka berlaku di Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sehingga hari ini.

Berikut butiran lanjut jumlah mangsa dan daerah terjejas setakat 8 pagi:

1. Segamat (7,272 mangsa di 55 PPS)
2. Kluang (5,426 mangsa di 39 PPS)
3. Batu Pahat (3,236 mangsa di 22 PPS)
4. Kota Tinggi (2,912 mangsa di 18 PPS)
5. Johor Bahru (2,096 mangsa di 12 PPS)
6. Muar (1,667 mangsa di 12 PPS)
7. Kulai (952 mangsa di enam PPS)
8. Tangkak (930 mangsa di 13 PPS)
9. Mersing (472 mangsa di lima PPS)
10. Pontian (250 mangsa di lima PPS)

 


Pengarang :