Pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalankan kerja pembersihan di salah satu pencawang elektrik yang terjejas akibat banjir di Kuala Terengganu, Terengganu pada 21 Disember 2022. Foto TNB CARELINE
AGENDANASIONAL

48 pencawang elektrik TNB ditutup, 4,800 akaun pengguna terjejas di Johor

JOHOR BAHRU, 5 MAC: Sebanyak 48 pencawang elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB) terpaksa ditutup atas faktor keselamatan berikutan banjir yang kini menjejaskan semua 10 daerah di negeri itu.

Pengurus Besar TNB Johor Mohamed Noh Md Seth berkata penutupan bekalan itu menyebabkan gangguan elektrik kepada 4,800 akaun pengguna di enam daerah terlibat iaitu Segamat, Kluang, Batu Pahat, Kota Tinggi, Mersing dan Muar.

Beliau berkata 36 pencawang ditutup di kawasan Yong Peng, Batu Pahat; Kota Tinggi (empat); Kluang (tiga); Segamat Baru, Segamat (tiga); dan masing-masing satu di Bukit Kepong, Muar; serta Endau, Mersing, setakat 6 pagi tadi.

“Jumlah pencawang elektrik yang ditutup 130, bagaimanapun 82 daripadanya disambung semula bekalan setelah air surut dan pepasangan elektrik selamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamed Noh berkata tindakan itu dilakukan bagi memastikan keselamatan pengguna setempat sekiranya situasi banjir semakin buruk, berisiko dan membahayakan.

Beliau turut menasihati pengguna agar mengubah suis utama kepada kedudukan ‘off’ serta memastikan semua suis turut dimatikan dan palam kuasa peralatan elektrik ditanggalkan.

“Selain itu, dapatkan juga kontraktor elektrik yang berdaftar untuk membuat semakan pendawaian elektrik sebelum menghidupkan suis utama,” katanya.

Menurutnya orang ramai boleh menghubungi TNB Careline 15454 atau Facebook TNB Careline untuk pertanyaan mengenai status bekalan elektrik di kawasan mereka dan sekiranya ternampak pepasangan TNB teralih atau tumbang.

– BERNAMA


Pengarang :