Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar selepas merasmikan Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Kuala Langat di Banting Waterfront, Kuala Langat pada 5 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sekian lama menunggu, penduduk lega peroleh hak milikan tanah

KUALA LANGAT, 5 MAC: Seorang warga emas lega apabila plot tanah kediaman yang menjadi kenangannya dan mendiang suami di Kampung Fatimah, Sungai Manggis akhirnya diberi Surat Kelulusan Pemberimilikan Tanah (Notis 5A).

P Vijayanphinimala, 68, menyatakan kegembiraan dengan kelulusan itu yang dinanti sejak 35 tahun menduduki kawasan berkenaan.

P Vijayanphinimala. Foto Suhaila Shahrul Annuar/SELANGORKINI

“Saya duduk di sini sejak berkahwin dengan suami, malah empat anak kami juga dibesarkan di rumah ini. Terlalu banyak kenangan kami di sini.

“Suami saya meninggal pada 2021 jadi rumah ini jadi kenangan kami sekeluarga. Jika tidak dapat notis 5A ini, kami risau hendak tinggal di mana selepas ini selain kenangan bersama mendiang suami juga hilang,” katanya kepada Selangorkini.

Penyerahan kelulusan permohonan pemberimilikan tanah kepada 25 penduduk Kampung Fatimah disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada program Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) Kuala Langat di Banting Waterfront hari ini.

Mereka merupakan pemegang lesen pendudukan sementara (LPS) ke atas 25 plot tanah bagi tujuan bangunan kediaman bermula 1989 di kawasan kampung itu yang terletak di luar rizab sungai.

Mereka adalah bekas pekerja ladang Ann Kiat yang menduduki kawasan itu awal 1990 setelah perkhidmatan mereka di ladang itu ditamatkan.

Sementara itu, M Kasiamah, 74, berkata dia tinggal di kawasan itu lebih 30 tahun lalu dan berita kelulusan pemberimilikan itu sangat menggembirakan.

M Kasiamah. Foto Suhaila Shahrul Annuar/SELANGORKINI

“Sudah pasti gembira. Saya sudah lama tinggal di sini, kawan juga ramai. Jadi memang tidak fikir mahu ke tempat lain.

“Terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar yang beri kelulusan ini. Kami sangat gembira kerana permohonan diberi perhatian,” katanya.

Amirudin sebelum ini memaklumkan Kerajaan Selangor meluluskan lebih 85,000 Surat Kelulusan Pemberimilikan Tanah (Notis 5A) untuk rakyat di seluruh negeri itu sejak 2008.


Pengarang :