Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof bercakap kepada media selepas majlis penutupan Forum Kekeluargaan dan Pencerahan Undang – Undang : Poligami Mengikut Sunnah Atau Mencari Rebah anjuran Majlis Agama Islam Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 7 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kes poligami tanpa kebenaran sekali ganda melebihi permohonan di mahkamah

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 7 MAC: Statistik Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) menunjukkan pasangan berpoligami tanpa kebenaran sekali ganda ramai melebihi mereka yang memohon kebenaran daripada mahkamah syariah.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkata pihaknya menerima 1,617 permohonan untuk mendaftarkan pernikahan berbanding 859 kes memohon kebenaran sebelum berpoligami dari 2019 hingga tahun lalu.

“Itu jumlah (1,617) yang datang mohon selepas bernikah, kita percaya yang tidak datang memohon di luar sana mungkin juga lebih ramai.

“Saya percaya perkara ini berlaku disebabkan oleh ceteknya kesedaran masyarakat terhadap kesan poligami tanpa kebenaran,” kata Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Terdahulu, beliau merasmikan majlis penutup Forum Kekeluargaan Undang-Undang dan Pencerahan Undang-Undang bertajuk Poligami: Mengikut Sunnah atau Mencari Rebah anjuran Mais dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Beliau berkata poligami tanpa kebenaran bukan sahaja kesalahan mengikut undang-undang keluarga Islam malah turut mendatangkan kemudaratan dalam rumah tangga kerana lazimnya pasangan berhasrat merahsiakan perkahwinan baharu daripada pengetahuan isteri sedia ada.

“Ketidakjujuran dalam ikatan perkahwinan seperti inilah yang akan menyebabkan sengketa yang berterusan, menghilangkan mawaddah dan rahmah dalam sesebuah perkahwinan dan akhirnya mampu meruntuhkan institusi perkahwinan itu sendiri,” katanya.

Abdul Aziz juga menyarankan pasangan yang berhasrat untuk berpoligami agar mematuhi undang-undang berkaitan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 sedia ada.

Beliau juga menasihatkan masyarakat tidak menggunakan jalan singkat untuk berpoligami melalui nikah sindiket, nikah sempadan dan seumpamanya.

“Perbuatan ini bukan sahaja akan memudaratkan perkahwinan sedia ada dan menjejaskan kesejahteraan sesebuah keluarga, bahkan pasangan yang berpoligami melalui cara ini juga berhadapan dengan risiko pernikahan mereka tidak sah mengikut hukum syarak.


Pengarang :