Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur pada 27 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Geng samun tumpas, empat kes jenayah berjaya diselesaikan

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Tiga lelaki ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam kejadian samun di sebuah rumah di Taman Pelangi, Sentul, di sini, 25 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata pihaknya menerima laporan kes itu pada jam 6.07 pagi.

Beliau berkata wanita berusia 45 tahun yang juga guru mendakwa ditumbuk muka, dipukul di leher dan diikat dengan menggunakan wayar oleh suspek.

“Suspek melarikan sebuah telefon bimbit, seutas jam tangan, kad bank dan juga wang tunai RM6,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan pihaknya berjaya memberkas tiga suspek berusia 26 hingga 35 tahun di Damansara dan Petaling Jaya, Selangor, pada jam 12.30 malam, Ahad lalu.

“Susulan tangkapan itu, kita merampas seutas jam tangan milik mangsa, dua telefon bimbit pelbagai jenama, serangkai anak kunci, sebuah motosikal dan beberapa helai pakaian yang digunakan suspek ketika kejadian,” katanya lapor Sinar Harian.

Menurutnya siasatan mendapati modus operandi kumpulan itu adalah melakukan samun dengan menyasarkan rumah berpenghuni dan polis berjaya menyelesaikan empat kes di Kuala Lumpur dan satu kes di Selangor susulan tangkapan terbabit.


Pengarang :