Orang ramai mendapatkan barang keperluan asas di Jualan Ehsan Rakyat sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang di Oasis Batang Kali, Hulu Selangor pada 19 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Lebih sedekad jaga kebajikan, Selangor sedia banyak manfaat buat rakyat

Puluhan tahun sejak merdeka, parti pembangkang selalu diragui mampu mentadbir negeri dengan baik. Negeri yang berjaya dikuasai pula selalunya dikategori sebagai miskin.

Namun, 8 Mac 2008 mengubah tanggapan ramai apabila dua negeri terkaya di Malaysia jatuh ke tangan gabungan pembangkang, Pakatan Rakyat. Selain kestabilan politik dan perpaduan kaum tetap kekal, ekonomi juga terus rancak.

Dengan jumlah kekayaan tersebut, Selangor mampu menyediakan sejumlah besar dana untuk menjaga kebajikan rakyat sejak 15 tahun dahulu. Daripada 20 inisiatif, kini bantuan Iltizam Selangor Penyayang berkembang lebih 40 program.

Kerajaan Negeri yang baharu juga memperkenalkan reformasi dalam bidang perundangan dan pentadbiran bagi memastikan tata kelola yang baik dan juga kelestarian alam sekitar.

Mulai minggu ini, Selangorkini menerbitkan beberapa artikel mengulas sejarah kejayaan pentadbiran Pakatan Harapan membawa negeri ke mercu kejayaan.

Bukan hanya dalam bidang ekonomi dan pembangunan material, Kerajaan Negeri turut menyuburkan fikiran rakyat melalui pendidikan, penerbitan buku warisan dan penterjemahan karya agung dunia, termasuk kitab ulama.

__________________________________________________________________________________________________________

SHAH ALAM, 9 MAC: Lima belas tahun lalu, agenda kebajikan mula dirasai rakyat negeri ini susulan kemenangan gabungan parti Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum 2008.

Hasil kerja berpasukan dan iltizam mengembalikan semula hasil kepada rakyat, terhasil pelbagai inisiatif memanfaatkan warga Selangor dari bayi sehingga warga emas.

Bermula tujuh pakej bantuan di bawah dasar merakyatkan ekonomi, jumlahnya bertambah kepada 44 inisiatif setakat Disember 2022 menerusi Iltizam Selangor Penyayang (ISP), seiring peningkatan pendapatan hasil urus tadbir cekap.

Petugas menunjukkan risalah Program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) di Pangsapuri Sri Perantau, Klang pada 18 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Di bawah ISP, Kerajaan Negeri membelanjakan lebih RM600 juta untuk menjayakan pakej memanfaatkan kanak-kanak, wanita, pelajar, orang kurang upaya, petani dan peniaga kecil dalam bidang kesihatan, pendidikan, perumahan dan keusahawanan. Tiada kumpulan tertinggal.

Enam inisiatif digariskan iaitu Iltizam Pemberdayaan Rakyat Selangor (10 program), Iltizam Kesihatan Selangor (11), Iltizam Pendidikan Selangor (7), Iltizam Perumahan Selangor (7), Iltizam Keusahawanan Selangor (5) dan Iltizam Mesra Anak Selangor (4).

Air percuma

Pemberian air percuma 20 meter padu bermula 1 Jun 2008 menjadi antara inisiatif terawal dilaksanakan. Diperkenal bekas Dato’ Menteri Besar Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, jasanya dihargai Dato’ Seri Amirudin Shari kerana memulakan asas ISP.

Air Selangor membuat hebahan menyeru penduduk negeri ini memohon Skim Air Darul Ehsan bagi mendapatkan air percuma. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sejak diperkenal, lebih RM1.5 bilion hasil negeri dibelanjakan untuk memberi air percuma. Pada mulanya semua pengguna menikmatinya sebelum Selangor melakukan penjajaran semula subsidi, tiga tahun lalu.

Skim Air Darul Ehsan memfokus kumpulan sasar iaitu isi rumah berpendapatan bawah RM4,000 selain memastikan kedudukan kewangan negeri lebih mampan.

Menyedari kenaikan kos sara hidup, Amirudin pada Ogos lalu menaikkan had pendapatan kepada RM5,000 supaya pemberian air percuma di bawah Iltizam Pemberdayaan Rakyat Selangor memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat.

Tabung warisan

Misi merakyatkan hasil turut meliputi program Tabung Warisan Anak Selangor. Pada 17 Ogos 2015, Enakmen Tabung Amanah Warisan Anak Selangor diluluskan bagi memastikan ahli TAWAS menerima RM1,500 apabila mencapai usia 18 tahun.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyampaikan beg dan peralatan sekolah ketika program bantuan masuk sekolah ahli Tawas bagi sesi persekolahan darjah 1 tahun 2023 DUN Sungai Tua di Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak pada 29 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Seperti skim air percuma, inisiatif itu turut melalui penjajaran semula dan penjenamaan. TAWAS kini dikenali Iltizam Anak Selangor (ANAS) memanfaatkan bayi yang lahir mulai tahun ini.

Amirudin pada Belanjawan 2023 mengumumkan dana RM3 juta yang bakal memanfaatkan 30,000 bayi. Mereka bakal menerima RM100 setahun sehingga berusia lima tahun yang dimasukkan ke akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime.

Rumah Selangorku

Sebagai negeri maju, kerajaan menitikberatkan keperluan kediaman. Usaha itu giat dilakukan sejak 15 tahun lalu di bawah jenama Rumah Selangorku. Bermula di Sungai Sering, Hulu Kelang pada 2014, semakin banyak unit rumah mampu milik dibina di seluruh negeri.

Setakat 1 Januari, 386 projek membabitkan 221,671 unit Rumah Selangorku termasuk kategori Idaman dan Harapan diluluskan.

ISP menyediakan projek Rumah Idaman dan Harapan bagi membantu keluarga berpendapatan sederhana dan rendah memiliki kediaman selesa di lokasi strategik. Sejak 2018, 65,000 unit rumah model berkenaan diluluskan pembinaannya.

Pemilik Rumah Idaman mengukir senyuman selepas menerima kunci Pangsapuri Idaman Abadi, Persiaran Tropicana Heights, Semenyih, Kajang pada 24 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Projek Idaman yang berharga RM250,000 seunit menawarkan rumah berkeluasan 1,000 kaki persegi, dilengkapi kabinet dapur, pemanas air, penyaman udara, peti sejuk, televisyen dan almari pakaian.

Kerajaan Negeri turut menyediakan insentif sewa dan deposit rumah. Antaranya Skim Smart, yang membolehkan penghuni menyewa antara dua hingga lima tahun sebelum membeli kediaman tersebut.

Skim Bantuan Biaya Rumah Selangor pula membantu membiayai bayaran deposit rumah untuk menampung kos sewa rumah sedia ada sementara menunggu siap pembinaan.

Tiga pakej bantuan itu bukti tekad Kerajaan Negeri kepada warga Selangor.


Pengarang :