KUALA LUMPUR, 11 MAC: Reruai restoran nasi kandar terkenal, Hameediyah antara yang meraih perhatian di Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2023 di sini.
Pengarah Kumpulan The Idea Box Solution berkata Hameediyah menghasilkan tiga produk iaitu kambing mysore, daging rendang dan ayam kapitan dalam pek sedia dimakan sejak setahun lalu.
Menurut Zakiah Jaafar Sidek pemilik Hameediyah melakukan kajian yang lama bagi memastikan produk tersebut mempunyai rasa dan kualiti setanding di restoran terkenal berkenaan.
“Pelanggan setia Hameediyah tidak perlu lagi memandu jauh ke Pulau Pinang untuk menikmati hidangan istimewa mereka.
“Produk kambing mysore dan daging rendang ini dijual pada harga RM20 satu pek, manakala ayam kapitan hanya RM16. Setakat ini sambutan yang kami terima amat menggalakkan,” katanya selaku pengedar produk berkenaan.
Beliau menambah Hameediyah turut menyasarkan peluang padanan perniagaan bersama potensi pelabur yang mempercayai kualiti produk mereka di persidangan halal tersebut.
Sementara itu, syarikat produk makanan ringan berasaskan coklat dan bijirin, Nims Adeliciosz Sdn Bhd gembira apabila berpeluang menyertai Selhac buat kali kedua.
Penasihat Pembangunan Perniagaannya Mia Husna Mat berkata acara tersebut membuka banyak peluang perniagaan baharu terutamanya dalam industri halal antarabangsa.
“Penganjuran Selhac oleh Kerajaan Negeri adalah tepat pada masanya kerana ketika ini industri halal mempunyai nilai pasaran antarabangsa yang tinggi,” katanya.
Selhac 2023 yang berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad di Pusat Perdagangan Dunia (WTC) menghimpunkan kira-kira 200 pempamer dari dalam dan luar negara.
Selhac pertama kali dianjurkan Mac tahun lalu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dengan penyertaan lebih 200 pempamer dan merekodkan transaksi sebanyak RM37.73 juta.