Arivalagan Thanggelu (kanan) bersama anaknya selepas program Back To School – Selangor Prihatin di tapak parkir Econsave Sungai Buloh pada 12 Mac 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

OKU lega bantuan penuhi keperluan anak kembali ke sekolah

Oleh DIANA ABD WAHAB

PETALING JAYA, 13 MAC: Seorang bapa berstatus orang kurang upaya (OKU) berasa lega dan gembira apabila anaknya menerima bantuan kembali ke sekolah dilaksana Kerajaan Negeri menerusi pemberian baucar RM100.

Arivalagan Thanggelu berkata program digerakkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras itu sememangnya meringankan beban kewangan yang ditanggung lantaran beliau dan isteri berpendapatan kecil.

“Saya hanya pekerja estet dan isteri tukang cuci, gaji kami tak seberapa memang terbeban kerana empat anak masih bersekolah.

“Kehidupan lebih sukar kerana saya kini adalah golongan kurang upaya (OKU) kerana kaki terpaksa dipotong akibat diabetes. Saya amat bersyukur dapat bantuan ini kerana boleh sediakan kelengkapan anak ke sekolah,” katanya bercadang membeli sepasang baju dan kasut untuk anaknya.

Beliau ditemui selepas program Back To School – Selangor Prihatin disempurnakan Ahli Dewan Negeri Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman di tapak parkir Econsave Sungai Buloh di sini, semalam.

Bagi Kee Siew Lee berkata beliau gembira dengan bantuan itu memandangkan pendapatan bulanan tidak menentu.

“Saya hanya penanam bunga jadi sekadar mampu raih antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan kadang-kadang langsung tiada pendapatan.

“Memang terbeban nak sediakan kelengkapan memandangkan dua anak masih bersekolah malah kena fikir di rumah nak makan apa. Kalau tak cukup duit pun susah jadi bantuan ini memang beri kelegaan untuk saya. Terima kasih kerana YB (Yang Berhormat Mohd Khairuddin Othman) yang prihatin dan bantu ringankan beban saya,” katanya.

Sementara warden Rumah Kasih Harmoni, Kamariah Wahab berkata pihaknya berharap Kerajaan Negeri meneruskan bantuan kembali ke sekolah menjadi program tahunan.

“Alhamdulillah gembira sangat dengan bantuan ini kerana kita mahu sediakan sekurang-kurangnya dua set pakaian untuk penghuni.

“Memang ada pihak beri sumbangan namun sehelai memang tak cukup tambah lagi jika hari hujan jadi dengan baucar RM100 ini kita akan beli sekurang-kurang dua pasang baju dan kasut untuk mereka,” katanya memaklumkan seramai 20 penghuni rumah tersebut berusia tujuh hingga 12 tahun menerima bantuan itu.

 


Pengarang :