Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Haris Kasim (kanan) yang mewakili Dato’ Menteri Besar bersama Ahli Lembaga Pengarah Worldwide Holdings Berhad, Datuk Azmi Mohd Ali (kiri) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Projek Penjanaan Kuasa Tenaga Boleh Diperbaharui Terkini Kelolaan Kumpulan Worldwide Holdings Berhad di Shah Alam pada 12 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Negeri komited promosi tenaga hijau, galak industri baharu, peluang kerja

SHAH ALAM, 13 MAC: Selangor meletak komitmen tinggi berkaitan aspek tenaga hijau dan kelestarian dalam menggalak pembangunan industri baharu sekaligus mencipta peluang pekerjaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkembangan itu seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi khususnya di negeri ini.

“Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai dasar dan inisiatif bagi mempromosikan penggunaan tenaga boleh baharu dan mengurangkan jejak karbon di negeri ini ia termasuk dasar tenaga boleh baharu, penggunaan tenaga solar, teknologi sisa ke tenaga, kenderaan elektrik dan dasar bangunan hijau.

“Semua inisiatif dan dasar yang ditetapkan adalah bukti komitmen kami terhadap tenaga hijau dan kelestarian yang mana ia tidak hanya mengurangkan jejak karbon negeri dan mempromosikan pembangunan lestari kepada rakyat malah memacu Selangor ke arah negeri pintar,” katanya dalam teks ucapan.

Teks itu dibacakan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Haris Kasim pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pembangunan tenaga solar di Selangor antara Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) dengan beberapa syarikat di Glenmarie Hotel and Golf Resort hari ini.

Terdahulu, Worldwide Holdings memeterai empat MoU bersama beberapa syarikat untuk menjalin kerjasama dalam pembangunan projek tenaga solar di Selangor.

Tambah Amirudin Kerajaan Negeri percaya peralihan kepada sumber tenaga boleh baharu, seperti solar dan hidro akan menyumbang kepada usaha menjamin keselamatan dan kestabilan tenaga.

“Ia juga mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil yang meninggalkan impak negatif terhadap alam sekitar dan kesihatan awam,” katanya.


Pengarang :