Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan ketika waktu pertanyaan menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di bangunan Parlimen pada 21 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kadar pendapatan masih rendah, Putrajaya belum sedia perkenal semula GST

SHAH ALAM, 14 MAC: Putrajaya belum bersedia melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berikutan tahap pendapatan rakyat di negara ini masih rendah, kata perdana menteri.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, negara lain seperti Singapura, Kanada atau New Zealand boleh mengenakan cukai terbabit kerana pendapatan minimum rakyat mereka munasabah, lapor Berita Harian.

“Untuk soalan GST, saya sudah menyatakan dari dahulu semasa saya ketua pembangkang. Kita belum bersedia kerana tahap pendapatan rakyat masih rendah.

“Jadi saya tidak fikir dalam enam bulan atau setahun, kita boleh pertimbangkan. Pendapatan rakyat mesti naik dahulu, nilai ambang itu perlu munasabah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata GST akan membantu kerajaan meningkatkan pendapatan, namun tidak bercadang memperkenalkan semula tahun ini.

Sementara itu, Anwar yang juga wakil rakyat Tambun memaklumkan belum ada syarikat dianugerahkan projek tebatan bah di beberapa negeri melalui tender semula dengan kaedah laluan pantas.

Perdana menteri menjelaskan kaedah tersebut dibuat berikutan terdapat keperluan mendesak dalam mengatasi masalah banjir baru-baru ini di beberapa negeri antaranya Johor.

“Memang sudah diluluskan tender semula projek tebatan banjir melalui tender terhad dengan kaedah laluan pantas sebab ada keperluan mendesak, namun sehingga hari ini belum ada syarikat dianugerah projek sama ada di Sungai Golok, Kelantan, Terengganu dan Johor,” jelasnya.

 


Pengarang :