Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual di program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Bandar Utama di Kampung Sungai Kayu Ara pada 22 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Beras cap Ehsan laris, pengunjung jualan PKPS puji kualiti cantik, sedap

KLANG, 14 MAC: Beras cap Ehsan menjadi barang paling laris dan terawal habis dalam tempoh kurang dua jam pada program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa hari ini.

Penyelaras DUN Norsila Baruddin berkata pengunjung di Balai MPKK Kerayong 2 di sini memuji kualiti beras itu yang disifatkan cantik dan sedap berdasarkan pembelian mereka sebelum ini.

Norsila Baruddin

“Selain beras, beberapa barangan yang turut habis dijual adalah ayam, daging, ikan manakala jualan telur pula kali ini agak perlahan mungkin penduduk di sini lebih memilih barangan basah.

“Anggaran lebih 700 pengunjung serbu JER hari ini dan kita turut dimaklum ada yang datang seawal jam 8 pagi kerana teruja untuk mendapatkan barangan pada harga murah,” katanya kepada Selangorkini.

Manakala Pegawai Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sementa Nasya Azwin Misnan berkata sambutan orang awam amat memberangsangkan setiap kali penganjuran JER.

Nasya Azwin Misnan

“Tahun lepas sudah lebih 20 kali JER dianjurkan di DUN Sementa dan memanfaatkan lebih 10,000 penduduk. Insya-Allah Ramadan nanti kita akan anjurkan lebih kerap iaitu sepanjang seminggu pada pertengahan bulan berkenaan.

“Bagi memastikan penduduk tidak berebut, kita memang menggunakan sistem nombor beri kepada mereka selain menyediakan kerusi di bawah khemah yang mana boleh tunggu di situ sebelum giliran tiba,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 15 Januari hingga menjelang Mei.


Pengarang :