Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang Chua Wei Kiat ketika usul menjunjung kasih titah Tuanku pada persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor (DNS) Keempat Belas tahun 2023 pada 14 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

ADN cadang wujud enakmen hukum anak abai ibu bapa berusia

SHAH ALAM, 14 MAC: Kerajaan Negeri dicadang mewujudkan enakmen yang memperuntuk hukuman terhadap anak-anak yang mengabaikan ibu bapa berusia.

Wakil rakyat Rawang berkata ramai warga emas di kawasannya berdepan kesukaran meneruskan kehidupan berikutan diabai anak-anak meski berkemampuan.

“Undang-undang berkaitan pengabaian ibu bapa bukanlah perkara baharu, malah negara jiran kita Singapura telah melaksanakan perkara berkenaan.

“Jadi saya ingin mencadang supaya Kerajaan Negeri mengkaji untuk mewujudkan enakmen bagi mengenakan hukuman kepada anak yang melakukan pengabaian kepada ibu bapa,” kata Chua Wei Kiat.

Beliau berkata demikian ketika usul menyembah ucapan serta menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Wei Kiat juga menyaran Kerajaan Negeri mengkaji keperluan memanjangkan umur persaraan secara berperingkat berikutan peningkatan jangka hayat individu.

“Peranan kerajaan dilihat amat penting dalam mendepani isu berkaitan warga tua memandangkan sistem sokongan kekeluargaan sedia ada tidak mampu menangani masalah seperti kesunyian, sokongan sosial serta kesihatan mental dan fizikal,” katanya.


Pengarang :