OLEH AZIAN AZIZ
KLANG, 14 MAC: Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru meminta Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mempertimbangkan untuk menjual sayur-sayuran pada Jelajah Ehsan Rakyat (JER) sepanjang Ramadan ini.
Cadangan itu dibuat mereka supaya bahan makanan itu turut dijual bersama barangan asas sedia ada susulan harganya di pasaran ketika ini semakin meningkat.
Pekerja swasta Abdul Latif Aziz, 38, dari Taman Sri Perepat berkata PKPS boleh membawa pasukan lain bagi tujuan itu untuk kemudahan pengunjung.
“Jika sayur-sayuran ditawarkan pada harga lebih murah pasti dapat membantu golongan berpendapatan rendah terutama pada Ramadan ini.
“Bagaimanapun saya bersyukur dengan jualan enam barangan asas ditawarkan sekarang kerana amat membantu penduduk berjimat,” katanya ketika ditemui dalam program JER DUN Meru di Taman Sri Perepat di sini hari ini.
Poziah Isa, 58, dari Kampung Perepat turut menyokong cadangan itu kerana harga sayur-sayuran yang kian melambung pada masa ini.
“Terma kasih kepada PKPS kerana menawarkan enam barangan asas yang murah termasuk barangan kering secara berkala. Harap dapat jual sayur pula,” katanya yang telah tiga kali menyertai program itu.
Sementara itu, suri rumah Azrin Mohd Nasir, 34, dari Tok Muda, Kapar bersyukur jika PKPS dapat mempelbagaikan jualan dalam program JER termasuk sayur-sayuran pada Ramadan ini.
“Jualan murah memang membantu saya sekeluarga berjimat. Kalau ada barangan tambahan seperti itu lebih bagus,” katanya ditemani empat anaknya yang masih kecil.
JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).
Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.
Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari hingga menjelang Mei.