EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi V Ganabatirau (belakang, tengah) bergambar bersama delegasi pelajar dari India sempena sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK, Shah Alam pada 15 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Sikap mesra rakyat Malaysia pikat penuntut kolej dari India

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 16 MAC: Keramahan rakyat negara ini termasuk pemimpin politik memikat penuntut Ethiraj College for Women, Chennai, India yang pertama kali mengunjungi Malaysia.

Meera Nihara Idurus Koya, 21, berkata sebagai sebuah negara Islam, rakyat berbilang kaum di negara ini hidup aman dan saling memahami serta menghormati antara satu sama lain.

Delegasi pelajar dari India, Meera Nihara. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Penuntut Ijazah Sarjana Ekonomi Perniagaan itu berkata kelebihan itu menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik.

“Sebelum ini saya hanya dengar mengenai Malaysia daripada saudara yang menetap di negara ini. Sekarang saya sudah berada di sini dan banyak yang dapat saya pelajari terutama mengenai rakyatnya yang peramah dan mesra.

“Jika berpeluang saya ingin datang semula ke sini kerana Malaysia memang dalam senarai negara yang ingin saya lawati,” katanya.

Meera Nihara ditemui selepas sesi dialog dengan EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi negeri V Ganabatirau di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri semalam.

Meera Nihara adalah salah seorang daripada 42 penuntut kolej itu yang mengadakan lawatan sambil belajar ke Malaysia selama tujuh hari anjuran Pertubuhan Komanwel Diraja Benua Asia.

Sementara itu J Krubaa, 19, berkata pemimpin politik di negara ini juga sangat mesra dan mudah didekati.

Delegasi pelajar dari India, J Krubaa,. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya lihat pemimpin di sini berinteraksi secara terus dengan orang ramai.

“Rakyat juga peramah dan merendah diri, selain itu Selangor negeri cantik dan banyak tempat boleh dilawati,” katanya.

Dalam pada itu Penyelaras Pertubuhan Komanwel Diraja Benua Asia Dhanesh Basil berkata program pertukaran belia di negara Asia itu bermula 2018.

“Kali ini kami bawa pelajar kolej terbaik untuk wanita di India ke Malaysia. Lawatan ini juga sempena ulang tahun ke-65 jaringan kerjasama Malaysia dan India,” katanya.


Pengarang :