Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang Rozana Zainal Abidin membahaskan usul menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), Shah Alam pada 14 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN Permatang cadang bangunkan aplikasi khas mohon SMUE, SMIS

SHAH ALAM, 16 MAC: Ahli Dewan Negeri Permatang mencadangkan Kerajaan Negeri membangunkan aplikasi khas untuk membantu mempercepatkan permohonan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Skim Mesra Insan Istimewa Selangor (SMIS).

Ini kerana, Rozana Zainal Abidin berkata kelewatan kelulusan SMUE dan SMIS boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat sehingga menimbulkan persepsi tidak baik terhadap dasar Kerajaan Negeri.

“Jika dikaji, tempoh tiga bulan untuk permohonan SMUE adalah agak lewat. Dalam era digitalisasi ini, seharusnya Kerajaan Negeri memikirkan kaedah terbaik bagi mempercepatkan sesuatu permohonan.

“Kita mencadangkan agar dapat dibangunkan satu aplikasi khas bagi permohonan SMUE dan SMIS.

“Sebagai contoh, kaedah permohonan Skim Insurans Am Selangor (INSAN) melalui ‘wave pay’ boleh dipraktikkan dalam permohonan SMUE dan SMIS yang lebih mudah dan cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika usul menyembah ucapan serta menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam.

Sempena istiadat pembukaan DNS, Sultan Selangor menyeru penduduk menyertai 46 program kebajikan Iltizam Selangor Penyayang (ISP).

Baginda amat menghargai usaha Kerajaan Negeri yang memperkenalkan pelbagai program dan kebajikan untuk manfaat rakyat di bawah kerangka ISP.

Baginda turut bertitah Kerajaan Negeri akan meneruskan pemberian Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) bagi tahun ini dengan sumbangan RM3,600 setahun kepada 30,000 keluarga berpendapatan rendah membabitkan peruntukan RM108 juta.

Titah Baginda, Kerajaan Negeri juga menambah baik inisiatif sedia ada kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) iaitu SMUE kepada golongan warga emas dan SMIS kepada OKU.


Pengarang :