Wakil penduduk sekitar Sijangkang menyerahkan surat bantahan pembinaan Kuil di Batu 7, Jalan Langat kepada Pengarah Komunikasi Korporat MPK Norfiza Mahfiz di ibu pejabat MPK pada 16 Mac 2023. Foto MPK
PBTSELANGOR

MPK nafi beri kelulusan bina kuil di Batu 7, permohonan tidak penuhi syarat

SHAH ALAM, 17 MAC: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menafikan memberi kelulusan pembinaan kuil di Batu 7, Jalan Langat seperti didakwa sesetengah pihak.

Pengarah komunikasi korporatnya berkata permohonan membina kuil terbabit ditolak atas beberapa faktor hasil perbincangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat pada 9 September 2020.

“(Faktor itu) antaranya tiada kemudahan infrastruktur sedia ada seperti jalan dan perparitan yang sempurna dari jalan utama ke tapak mengikut spesifikasi Jabatan Kejuruteraan.

“Selain itu, permohonan juga menimbulkan keraguan memandangkan pembinaan bangunan kuil tidak berada di tapak tepat, tiada perimeter jalan dan perparitan di lokasi dikhaskan untuk bangunan kuil,” kata Norfiza Mahfiz dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata penduduk Kampung Sijangkang, Kampung Medan dan Kampung Kebun Bharu Batu 9 di Sijangkang turut membantah kerana pembinaan kuil terbabit hampir dengan penempatan mereka yang majoriti berbangsa Melayu dan beragama Islam.

“Menurut penduduk, pembinaan kuil berdekatan kawasan kampung akan menimbulkan pelbagai masalah kerana akan menggunakan laluan Batu 7 Sempadan sebagai laluan utama,” katanya menambah sebanyak 2,258 bantahan diterima setakat ini.

Dalam kenyataan sama, Norfiza memberitahu notis menghentikan aktiviti pembinaan dikeluarkan kepada persatuan agama pada 28 Februari lalu.

“Satu lawatan tapak pada 1 Mac 2023 melibatkan ahli majlis MPK,ahli majlis Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPK) dan pimpinan setempat telah dilakukan ke situ.

“Majlis juga bakal mengadakan Mesyuarat Pendengaran Awam pada 24 Mac ini bagi mendengar alasan bantahan kedua-dua pihak,” katanya memaklumkan perkara itu akan dibawa ke Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam (LIMAS) untuk keputusan.


Pengarang :