MARANG, 17 MAC: Pasukan bomba mengambil masa hampir 30 minit untuk menyelamatkan pencari madu lebah yang terjatuh dari sepohon pokok tualang sebelum terjunam ke dalam cerun di Bukit Jejulong dekat Kampung Jejulong, di sini malam tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai Roslan Yusuf berkata mangsa berusia 29 tahun yang sedang mencari madu lebah terjatuh dari pokok tualang setinggi 28 meter sebelum terjunam ke cerun sedalam 15 meter.
“Pihak bomba menerima panggilan pada 9.20 malam dan tujuh anggota bergegas ke lokasi. Bomba berjaya sampai ke lokasi mangsa terjatuh kira-kira 11 malam kerana mengalami kesukaran untuk mencari mangsa berikutan keadaan gelap, berbukit serta bercerun.
“Selepas hampir 30 minit mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan tali dan alat pengusung kerana mangsa yang patah kedua-dua kaki tidak dapat bergerak. Mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Roslan berkata sebelum kejadian, mangsa bersama rakan masuk ke dalam hutan di Bukit Jejulong selepas waktu Asar untuk mencari madu lebah sebelum tergelincir di atas pokok lalu terjatuh ke dalam cerun.
Katanya, rakan mangsa cuba membantu mengeluarkannya namun tidak berjaya dan dia keluar dari hutan itu untuk mendapatkan pertolongan.
– BERNAMA