Antara pelajar cemerlang Yayasan Selangor yang menerima tajaan bagi mengikuti sesi persekolahan 2023/2024. Foto Facebook Yayasan Selangor
AGENSISELANGOR

48 pelajar Yayasan Selangor terima tajaan RM885,520 untuk lanjut pelajaran

SHAH ALAM, 17 MAC: Seramai 48 pelajar cemerlang Yayasan Selangor menerima tajaan berjumlah RM885,520 bagi mengikuti sesi persekolahan 2023/2024.

Agensi itu memaklumkan tajaan itu meliputi 41 pelajar ditempatkan di lima Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) menerusi program Budi Yayasan Selangor.

“Tujuh pelajar pula di Kolej Yayasan Saad Melaka (KYSM) menerusi program Bitara Yayasan Selangor (Bitara).

Antara pelajar cemerlang Yayasan Selangor yang menerima tajaan bagi mengikuti sesi persekolahan 2023/2024. Foto Facebook Yayasan Selangor

“Pelajar yang terpilih berpeluang meneruskan persekolahan di sekolah elit dengan iklim pembelajaran kondusif dan prasarana lebih efektif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya pada masa sama program itu diharap dapat melahirkan murid global, cemerlang dan kompetitif.

“Ia seterusnya menghasilkan modal insan yang memenuhi keperluan pasaran pekerjaan bertaraf dunia dalam menyumbang tenaga kerja berprestasi tinggi yang akan melebihi jangkaan negara khususnya Selangor.

Pelajar cemerlang Yayasan Selangor menerima tajaan bagi mengikuti sesi persekolahan 2023/2024. Foto Facebook Yayasan Selangor

“Sebagai pelajar Yayasan Selangor mereka terdiri daripada golongan B40 dengan pendapatan per kapita keluarga kurang RM2,000 sebulan dan penajaan program meliputi yuran persekolahan, pengajian, penginapan dan makanan selain wang saku dan peranti,” katanya.

Katanya, Bitara adalah program yang dilaksanakan sejak 2021 dengan kerjasama Yayasan Selangor dan KYSM bermatlamat melahirkan pelajar cemerlang dan kompetitif memenuhi pasaran pekerjaan.

“Program Budi Yayasan Selangor adalah program tajaan kepada murid kelahiran Selangor yang berada di 12 MRSM terpilih dan tajaan disalurkan sepanjang tempoh pengajian selama lima tahun bermula tingkatan satu hingga lima,” katanya.


Pengarang :