Oleh DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM, 20 MAC: Lebih 1,000 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40) sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras menerima bantuan persekolahan di Dewan MPKS Saujana Utama, semalam.
Wakil rakyatnya Mohd Khairuddin Othman berkata baucar RM100 sempena program Kembali Ke Sekolah – Selangor Prihatin fasa kedua bertujuan meringankan beban ibu bapa.
“Fasa kedua hari ini (semalam) kita agihkan bagi membantu anak-anak keluarga B40 buat persediaan sesi persekolahan yang akan bermula esok (hari ini)
“Sebelum ini, Kita sudah agihkan kira-kira 800 baucar menerusi fasa pertama di tapak parkir Econsave Sungai Buloh. Sebanyak RM200,000 diperuntukkan bagi menjayakan program berkenaan,” katanya dalam kenyataan.