Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerima cenderahati ketika Dialog Perdana Putrajaya 2023 bertemakan Membangun Negara Madani di Hotel Zenith Putrajaya pada 20 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: RS-1 strategi bangunkan wilayah, pacu ekonomi negeri

PUTRAJAYA, 20 MAC: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) merupakan strategi pembangunan wilayah sekali gus memacu ekonomi negeri, kata Dato’ Menteri Besar

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata antara projek pembangunan termasuk Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS), Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) dan Gerbang Maritim Selangor (SMG).

“Untuk membangunkan semula kawasan perbandaran, menerusi Belanjawan 2019 saya gagaskan gugusan ekonomi bagi mencari titik-titik keunikan di sesuatu lokaliti di bandar sehingga kampung supaya ia boleh dibangunkan semula dengan nilai sedia ada.

“Saya tidak mempunyai kawasan besar untuk dibangunkan seperti Putrajaya tetapi Alhamdulillah Selangor dalam tempoh 40 hingga 50 tahun lepas merupakan kawasan paling awal terima kemajuan kerana kedudukan strategiknya.

“Bersandarkan gugusan ekonomi saya sudahkan dengan RS-1 memikirkan pembangunan wilayah seperti SABDA, SMG termasuk membangun kompleks stadium dan IDRISS,” katanya.

Beliau berucap pada majlis Dialog Perdana Putrajaya anjuran Persatuan Pegawai Perancang Bandar dan Desa Malaysia (Persada) bersama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) bertema Membangun Negara Madani di Hotel Zenith di sini hari ini.

Awal tahun lalu ketika menyampaikan amanat tahun baharu kepada penjawat awam, Amirudin berkata RS-1 merupakan kemuncak agenda pembangunan negeri yang dirancang beberapa tahun ini.

RS-1 yang dibentang pada Julai tahun lalu melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM212.44 bilion mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan persekutuan.


Pengarang :