Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut menjanjikan peluang pekerjaan dan masa depan cerah kepada pelajar. Foto Arkib Selangorkini
AGENDANASIONAL

MITI mahu rombak dasar perdagangan, isu gaji graduan TVET

SHAH ALAM, 23 MAC: Kementerian Perdagangan dan Industri (MITI) mahu merombak dan menyelaras dasar perdagangan termasuk isu gaji graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang tidak setimpal.

Timbalan menterinya Liew Chin Tong berkata ini kerana, struktur gaji pasaran buruh negara terlalu rendah berikutan kewujudan ramai pekerja warga asing tanpa kemahiran.

Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri, cadangan Jawatankuasa Majlis TVET Negara yang mengesyorkan gaji sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan kepada graduan TVET adalah bersesuaian dengan situasi semasa.

“Apabila majikan terus mengupah pekerja warga asing tanpa kemahiran, maka tiada insentif dan dorongan untuk syarikat-syarikat membayar gaji berpatutan kepada warganegara kita yang berkemahiran,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikan menjawab soalan Dato’ Seri Amirudin Shari (Gombak-PAKATAN) berhubung perancangan MITI meneroka industri bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada graduan TVET.

Minggu lalu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan majikan atau pemain industri memberi gaji minimum RM3,000 sebulan kepada graduan TVET.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara dilaporkan berkata graduan TVET adalah tenaga kerja mahir dan bukannya pekerja daripada sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar).

Chin Tong menambah MITI telah merangka Dasar Pelaburan Baharu Negara bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan aliran masuk pelaburan ke dalam negara.

“Dasar pelaburan baharu ini didokong oleh strategi dan sektor berintensif teknologi tinggi, yang mengimbangi kelestarian ekonomi serta alam sekitar serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing,” katanya.


Pengarang :