Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir menyampaikan sijil Anugerah Khas Datuk Bandar Petaling Jaya kepada Shahrum Baharudin pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 dan Sanjungan Budi Pesara MBPJ di Dewan Sivik, MBPJ, Petaling Jaya pada 21 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Tiga dekad berbakti di MBPJ, penggali kubur terima anugerah khas

PETALING JAYA, 22 MAC: Seorang penggali kubur menerima pengiktirafan tertinggi daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) atas perkhidmatan cemerlang selama hampir 30 tahun.

Penerima Shahrum Baharudin, 49, yang bertugas di Jabatan Pembangunan Masyarakat antara lima kakitangan yang dianugerahkan Anugerah Khas Datuk Bandar dalam sebuah majlis malam tadi.

Pertama kali menerima anugerah tersebut, beliau meluahkan perasaan terharu dan bertekad untuk bekerja dengan penuh dedikasi bagi menyara dua anaknya yang masih bersekolah.

“Saya pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak tiga kali sebelum ini. Perasaan sangat terharu kerana melalui perkhidmatan di MBPJ saya dapat menyara keluarga.

“Sudah pasti anugerah ini mendorong untuk berkhidmat dengan lebih baik. Antara pengalaman tidak dapat dilupakan ialah ketika pandemik kerana perlu menggali hampir 20 kubur sehari,” katanya.

Sementara itu, penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Roseli Abdullah, 60, menyifatkan pengiktirafan itu hadiah paling bermakna sepanjang 34 tahun berkhidmat di MBPJ.

Beliau yang bertugas di pelbagai jabatan sejak 1989 turut menganggap anugerah itu kenangan manis terakhirnya bersama pihak berkuasa tempatan tersebut sebelum bersara Julai nanti.

“Paling manis, MBPJ menghargai kakitangan pesara dan dapat meraikannya bersama kembar saya yang bertugas di Jabatan Kejuruteraan,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 153 warga kerja MBPJ menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang termasuk lima daripadanya merupakan kakitangan kontrak pembelian perkhidmatan.

Turut diberi pengiktirafan ialah lima kakitangan yang menerima Anugerah Khas Datuk Bandar dan Anugerah Khas Ketua Jabatan, yang disampaikan Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir.


Pengarang :