Kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyantuni dan menyerahkan bakul makanan kepada gelandangan di sekitar Kuala Lumpur, pada 21 Mac 2023. Foto Ihsan PKNS
AGENSISELANGOR

PKNS bantu ringankan beban gelandangan, serah bakul makanan sempena Ramadan

SHAH ALAM, 24 MAC: Seramai 30 kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyantuni dan menyerahkan bakul makanan kepada golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Agensi itu memaklumkan program terbabit adalah sebahagian daripada lima siri inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi program Ramadan Kasih PKNS.

“Ini merupakan sebahagian daripada lima siri program CSR yang dinamakan Ramadan Kasih PKNS pada Ramadan tahun ini.

“Seramai 30 sukarelawan PKNS yang terdiri daripada kakitangan pelbagai bahagian, turun padang untuk menyantuni dan menyerahkan sumbangan raga makanan kepada warga gelandangan sekitar Jalan Chow Kit dan Jalan Tunku Abdul Rahman,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Program itu diketuai Ketua Pegawai Korporat Idris Ishak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Wang Zakat PKNS dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat, Sapna Turmidi.

Kenyataan itu berkata PKNS memperuntukkan RM10,000 bagi sumbangan barangan makanan kering selain dana untuk menambah baik pusat tuisyen anak-anak jalanan yang dikendali Pertubuhan Jejak Jalan.


Pengarang :