Penduduk di kawasan terjejas mengambil bekalan air disediakan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor). Foto Facebook AIR SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Status pemulihan bekalan air capai 14.6 peratus sehingga 9 pagi

SHAH ALAM, 25 MAC: Status pemulihan bekalan air di kawasan terjejas mencapai 14.6 peratus sehingga jam 9 pagi ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan bekalan air akan disalurkan secara berperingkat kepada premis pengguna setelah sistem bekalan air distabilkan.

Menurut Air Selangor bekalan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi esok.

“Tempoh masa pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung lokasi dan jarak premis pengguna,” kata kenyataan itu menerusi Facebook.

Air Selangor turut menyarankan pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan.

“Air Selangor berharap pengguna yang telah mendapat bekalan air menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan,” katanya.

Gangguan bekalan air tidak berjadual di 55 kawasan di wilayah Klang dan Shah Alam bermula jam 10 malam tadi selepas kejadian paip pecah di Taman Mutiara Bukit Raja 2, Klang.

Pada jam 6 pagi tadi, kerja pembaikan paip pecah di taman itu siap dilakukan dan air disalurkan secara berperingkat.

Ketika proses pemulihan Air Selangor menggerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa boleh diperoleh menerusi aplikasi Air Selangor, Facebook dan aduan boleh diajukan di Help Centre di www.airselangor.com.


Pengarang :