Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berucap pada Majlis Perutusan Pengerusi Mais 2023 di Auditorium Dahlia, Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Negeri, Shah Alam pada 27 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Mais peruntuk lebih RM1.3 juta beri duit raya kepada anak yatim

SHAH ALAM, 25 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memperuntuk sejumlah RM1.36 juta bagi menyumbang duit raya kepada 9,081 anak yatim tahun ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata sumbangan akan diagihkan menerusi anak syarikat, Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) kepada anak yatim yang layak di negeri ini.

“Pada tahun ini Mais menerusi Yide akan menyantuni dan menyampaikan bantuan keperluan sempena Aidifitri kepada 9,081 anak yatim bernilai RM1.36 juta,” katanya berucap di majlis berbuka puasa bersama Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di sini semalam.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan sumbangan kepada 493 asnaf fakir, miskin dan mualaf di daerah Petaling berjumlah RM246,500.

Dalam majlis sama Baginda turut berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM10,153,780.84 juta daripada lima syarikat korporat termasuk Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Worldwide Holding Berhad.

Baginda bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah turut berbuka puasa serta menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat terawih bersama-sama.


Pengarang :