Ketua Pegawai Korporat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Idris Ishak (tiga, kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Program Bekal Ramadan Kasih PKNS di Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam pada 26 Mac 2023. Hadir sama Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal dan Anak Yatim (Bonda) Dato’ Ismail Che Abdullah (tiga, kanan). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKNS peruntuk RM10,000 agih bakul makanan kepada asnaf, ibu tunggal

SHAH ALAM, 26 MAC: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memperuntuk RM10,000 untuk agihan bakul makanan menerusi program Bekal Ramadan Kasih tahun ini.

Ketua Pegawai Korporatnya Idris Ishak berkata 50 penerima terdiri daripada ibu tunggal, anak yatim, fakir miskin dan orang tua menerima manfaat program yang diadakan di ibu pejabat PKNS hari ini.

“Ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan kali ini kita bekerjasama dengan Persatuan Ibu Tunggal dan Anak Yatim (Bonda), semua penerima ini berdaftar dengan mereka.

“Kita harap dengan sumbangan bekal makanan ini dapat meringankan beban mereka sepanjang Ramadan selain memberi keceriaan,” katanya ditemui pada majlis tersebut.

Ketua Pegawai Korporat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Idris Ishak bercakap kepada media selepas Program Bekal Ramadan Kasih PKNS di Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam pada 26 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Turut hadir, Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat PKNS, Sapna Turmidi dan Pengerusi Bonda Dato’ Ismail Che Abdullah.

Terdahulu, program itu diserikan dengan ceramah ringkas bertajuk ‘Kedaifan Tidak Pernah Menghalang Ibadah’ oleh Ustaz Md Ghazali Ibrahim.

Baru-baru ini PKNS menyerahkan bakul makanan kepada golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.

Seramai 30 kakitangan PKNS turun padang menyantuni dan menyerahkan sumbangan raga makanan kepada warga gelandangan sekitar Jalan Chow Kit dan Jalan Tunku Abdul Rahman.


Pengarang :