Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Bandar Utama di Kampung Cempaka, Petaling Jaya pada 1 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Orang ramai puji jualan murah negeri, bantu jimat belanja 

Oleh Diana Abd Wahab

PETALING JAYA, 1 APRIL: Penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama memuji keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan rakyat dengan meneruskan jualan murah ketika Ramadan.

Penjaga bangunan Herman Abdullah, 60, bekata beliau bersyukur inisiatif kelolaan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan kerjasama wakil rakyat amat membantu penduduk setempat berjimat.

Herman Abdullah. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Jualan murah ini memang bantu berjimat terutama ketika Ramadan kerana harga barang sering naik dan lebih mahal. Di sini barangan yang dijual lebih murah, ayam seekor dijual hanya RM10 seekor, manakala ikan RM6 satu pek.

“Kalau boleh saya harap Kerajaan Negeri terus adakan program sebegini pada masa depan untuk bantu rakyat,” katanya kepada Selangorkini ketika ditemui pada Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Bandar Utama di Gelanggang Bola Keranjang Kampung Cempaka di sini, hari ini.

Bagi sukarelawan Kong  Kwai Moi, 67,  beliau sangat gembira dengan usaha Kerajaan Negeri menganjurkan program seumpama itu bagi membantu golongan kurang berkemampuan dan warga emas yang tiada punca pendapatan berjimat.

Kong Kwai Moi. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Di luar seekor ayam boleh cecah harga RM18 tetapi di sini hanya RM10 jadi memang boleh berjimat memandangkan harga barang mahal.

“Saya puji adakan program pada Ramadan kerana sediakan barang keperluan asas pada harga murah untuk rakan-rakan beragama Islam yang berpuasa,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari hingga menjelang Mei.

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran pada program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Bandar Utama di Kampung Cempaka, Petaling Jaya pada 1 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :