Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada Persatuan Bekas Polis Negeri Selangor sambil diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings Berhad Datin Paduka Norazlina Zakaria dalam program Ziarah Kasih Ramadan di rumah anak yatim dan asnaf Pertubuhan Kebajikan Ar Rahmaniah, Hulu Selangor pada 4 April 2023. Foto Yayasan Raja Muda Selangor
AGENSISELANGOR

Worldwide Holdings salur RM40,000 jaya Ziarah Kasih Ramadan di Hulu Selangor

Oleh AZIAN AZIZ

HULU SELANGOR, 4 APRIL : Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) menyumbang RM40,000 bagi menjayakan program Ziarah Kasih Ramadan di rumah anak yatim dan asnaf Pertubuhan Kebajikan Ar Rahmaniah di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata bantuan berkenaan sebahagian daripada RM200,000 yang disumbangkan kepada Yayasan Raja Muda Selangor untuk tahun ini.

“Worlwide Holdings bekerjasama dengan Yayasan Raja Muda Selangor sejak 17 tahun bagi menjalankan program tanggungjawab sosial korporat.

“Wang tersebut merupakan agihan zakat Worldwide Holdings untuk membantu golongan yang memerlukan,” katanya selepas program tersebut.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah menyampaikan baju raya kepada penghuni rumah anak yatim dan asnaf Pertubuhan Kebajikan Ar Rahmaniah, Hulu Selangor pada 4 April 2023. Foto Yayasan Raja Muda Selangor

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenaan mencemar duli menyertai program anjuran Selangor Youth Community (SAY) dan Yayasan Raja Muda Selangor.

Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah Selangor Youth Community (SAY) Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Muda Selangor Nurul Azwa Mohd Rodzi.

Worlwide Holdings turut menyumbangkan RM400 dan kotak makanan bernilai RM100 kepada empat keluarga asnaf.

Selain itu, kesemua asnaf berkenaan turut menerima bantuan baik pulih rumah bernilai RM1,500 setiap rumah.

Worldwide Holdings turut menyumbangkan wang tunai RM3,500 dan kotak makanan kepada rumah anak yatim dan asnaf tersebut selain bantuan 10 kerusi roda bernilai RM7,000 kepada Persatuan Bekas Polis Negeri Selangor.


Pengarang :